Assalamualaikum wbt
Kadangkala apa yang kita impikan dan idamkan susah untuk dikecapi. Kadangkala ia semakin hampir dengan kita tetapi dengan tiba-tiba sahaja ada rintangan yang akan menghalang dari kita kecapi. Kadangkala impian yang kita kecapi diberikan di dalam bentuk yang lain tetapi tidak kita sedari tentang kehadiran dan kenikmatannya. Kita terlalu menginginkan apa yang kita impikan tercapai dalam bentuk yang kita impikan sehinggakan apa yang ada di depan mata kita, tidak kita sedari dan tidak dapat kita lihat dengan mata kasar. Ini kerana ia memerlukan hati yang ikhlas dan tulus untuk melihatnya. Hati haruslah redha dengan segala qada' dan qadar yang telah ditetapkan ke atas kita oleh Allah SWT
Kadangkala kita berusaha untuk mencapainya tetapi seperti kebiasaan, ada sahaja onak duri yang terpaksa di lalui disepanjang jalan bagi melaksanakan impian dan cita-cita itu. Disebabkan keinginan yang menebal di dalam diri kita, kita mula berusaha dengan segigih-gigihnya. Dimulai dengan berdoa kepada Allah SWT sepanjang masa supaya kita mencapai impian itu. Setelah jemu berdoa, tetapi impian itu masih tidak kunjung tiba, kita mula menyalahkan diri sendiri. Ada juga yang mempunyai perasaan ego yang tinggi kita mula menyalahkan orang lain pula di atas kegagalan diri kita, kita tidak mengaku atas kesalahan kita sendiri.
Sekali lagi, setelah semua ikhtiar lain sudah habis di usahakan untuk mencapai impian itu, kita mula mengambil jalan mudah. Jalan yang salah, jalan yang singkat yang nyata-nyata tidak akan diredhai oleh Allah SWT. Apabila ada yang cuba menasihati kita, kita nyahkan semua nasihat itu. Semua itu di tolak tepi. Kita sudah mula buta dengan keadaan sekeliling kita. Kita jadi tidak peka dengan segala yang baik dan buruk. Apa yang penting bagi kita sekarang, impian itu harus dicapai dengan apa jua cara sekalipun tanpa memikirkan baik dan buruknya.
Akibat ketaksuban itu, kita tidak lagi memikirkan kesan dan akibatnya ke atas kita kelak. Kita tidak lagi dapat membezakan di antara yang halal dengan yang haram. Kita sudah buta untuk membezakan antara dosa dan pahala. Kita sudah tenggelam dengan cita-cita itu sehinggakan perasaan takut dan cinta kepada Allah SWT sudah hilang dan lesap dalam diri kita. Semua itu ditolak ke tepi, janji apa yang kita inginkan dapat di genggam secepat mungkin.
Ada kalanya kita kena bersabar dengan segala-galanya. Belum tentu apa yang kita minta dengan berdoa kepada Allah SWT di berikan dengan serta merta. Kadangkala ia memerlukan masa yang panjang untuk kita menikmati impian itu. Ianya memerlukan tahap kesabaran yang tinggi untuk menempuhinya.
Adakalanya apa yang diminta, tidak akan diberi oleh Allah SWT di dalam bentuk apa yang kita pinta. Sebaliknya ia diberi di dalam bentuk yang lain. Adakalanya apa yang diminta di beri dengan sekelip mata oleh Allah SWT. Maka beruntung dan bertuahlah orang yang sebegini. Seharusnya orang seperti ini memanjatkan banyak-banyak kesyukuran kepada Allah SWT tetapi kita tidak begitu kan? Kita lalai di atas semua kenikmatan yang di beri ke atas kita yang berlimpah luahnya. Kita di buai dengan segala keindahan di dunia ini, sehinggakan kita lupa dengan alam akhirat yang menunggu kita.
Segala apa yang terjadi pulangkanlah kembali semuanya kepada Allah SWT. Kerana Dia lah yang mengetahui di atas segala-galanya. Dia yang lebih berhak ke atas kita. Marilah kita cuba mengamalkan sikap sentiasa bersyukur dengan segala apa yang kita punya. Amalkanlah sifat sentiasa bersabar dengan segala apa keadaan pun kerana sesungguhnya Allah SWT itu sentiasa bersama-sama dengan orang yang sabar. Amin Ya Rabbal Alamin.
No comments:
Post a Comment