Assalamualaikum wbt
Walaupun rasanya sudah terlambat untuk saya mengucapkan Hari Ibu untuk Mak saya. Tapi saya tetap mahu mengucapkannya juga, dengan harapan Mak akan membacanya nanti (Mak mesti baca tau..hehe..). Selamat Hari Ibu untuk Mak saya iaitu Jumliyeh binti Wadar. Saya sayang Mak. Ida minta maaf kerana Ida tidak pandai mahu mengucapkan secara bersua muka dengan Mak.
Mak banyak berjasa kepada kami adik-beradik. Ida masih ingat lagi, bila Mak terpaksa kerja siang dan malam hanya untuk membesarkan kami 5 beradik. Mak begitu kuat semangat membesarkan kami semua walaupun tanpa suami disisi. Ida akan ingat selalu dan sentiasa dalam ingatan sampai sekarang dan kenangan itu tidak akan hilang untuk selama-lamanya.
Ida tidak ingat kenangan manis ketika kecil tetapi memori yang paling Ida ingat bila Bapa dah mula menunjukkan belangnya dan selepas Mak bercerai dengan Bapa. Seingat Ida kenangan ketika kecil bersama Bapa semuanya seperti hilang. Seperti di padam semua memori itu dalam kepala. Yang tinggal hanyalah kenangan sedih. Kenangan yang tinggal hanyalah kenangan bila Mak membesarkan kami adik beradik seorang diri. Seingat Ida kenangan manis hanyalah sedikit jika nak di bandingkan dengan kenangan sedih.
Di waktu siang Mak bekerja membersihkan ofis, bukan satu tetapi lebih dari 2 ofis. Mak sanggup berjalan kaki jauh walaupun lokasi ofis itu terlalu jauh. Bagi Mak rezeki ada di mana-mana asalkan kita sanggup untuk berusaha. Mak sanggup membuat kerja-kerja seperti ini asalkan ia adalah rezeki yang halal. Mak sanggup bersihkan toilet ofis orang tiap-tiap hari asalkan anak-anak Mak makan dari rezeki yang halal. Mak tak kisah orang panggil Mak, Makcik cleaner dan adakalanya mereka memandang Mak dengan pandangan hina, Mak tidak peduli asalkan suapan yang anak Mak terima adalah dari sumber yang halal. Di sebabkan pekerjaan Mak ini, Ida tidak pernah pun sesekali memandang rendah pada cleaner. Bagi Ida mereka lebih mulia kerana sanggup bergelumang dengan benda-benda kotor asalkan ianya rezeki yang halal.
Selepas balik bekerja pukul 5 petang, Mak menyambung lagi bekerja dengan mengambil upah mencucuk sate. Kadang kala Mak mencucuk sate sehingga pukul 12 malam. Mak langsung tiada masa rehat. Disebabkan rasa kesian melihat Mak, Ida sanggup menolong Mak mengambil upah mencucuk sate sampai ke malam, bagi meringankan beban Mak. Walaupun Ida tidak dapat bermain seperti rakan-rakan yang sebaya dengan Ida. Walaupun kadang kala Ida selalu di marah oleh cikgu kerana tidak menyiapkan kerja rumah yang diberi dan ada kalanya Ida terpaksa meniru kerja kawan-kawan. Walaupun kadang kala Ida selalu di tegur oleh kawan-kawan dan cikgu di sekolah kerana asyik tidur di sekolah. Itu semua tidak penting bagi Ida, yang penting Mak tidak pening kepala setiap bulan memikirkan duit yang tidak cukup.
Di waktu Ida menongkah masuk SPM, Mak selalu menjadi peneman Ida untuk belajar di waktu malam selepas habis mencucuk sate. Mak tidur di ruang tamu tiap-tiap hari hanya dengan beralaskan tikar semata-mata untuk meneman Ida menelaah pelajaran di sisi Mak. Mak pun sudah sedia maklum dengan sifat penakut anak Mak ini seorang. Ida bertambah semangat untuk belajar bila Mak sanggup meneman Ida belajar.
Ida masih ingat lagi bila Mak ada membelikan ayam brands untuk Ida ketika masih SPM. Mak kata ini bagus untuk kuatkan ingatan. Ida tahu walaupun Mak tiada duit Mak sanggup juga untuk membelikannya, asalkan anak Mak rajin belajar. Di sebabkan keadaan kita yang susah dulu, Ida nekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan berjaya untuk membalas jasa Mak.
Bila Saip di masukkan ke hospital akibat athma. Mak sanggup berulang alik dari ofis ke hospital dan ada kalanya Mak bermalam di hospital. Mak sanggup bersengkang mata menjaga kami, asalkan anak-anak Mak semuanya sihat. Ida masih ingat, ada sekali raya. Mak sanggup tiada baju baru langsung asalkan anak-anak Mak ada baju baru. Ida masih ingat semuanya. Pengorbanan mak terlalu banyak dan berharga buat Ida.
Dulu Ida dan adik-adik yang lain banyak menyusahkan Mak. Mak selalu pening kepala dan marah-marah pada kami. Ini mungkin di sebabkan kami masih tidak matang. Dulu Ida suka memberontak bila Mak marah kan. Ida selalu merajuk bila Mak mula menyalahkan Ida bila Ida gaduh dengan adik-adik. Ida minta maaf dari hujung kaki sampai hujung rambut. Dulu Ida tak memahami perasaan tension Mak yang terpaksa membesarkan kami 5 beradik seorang diri. Maafkan Ida ye Mak. Sekarang Ida baru faham dan sedar.
Bila ingat balik, walaupun dulu kita hidup susah tetapi Ida masih bersyukur Mak masih hidup dan masih ada di sisi. Dulu bila Ida terasa sedih dengan kehidupan kita, Ida cepat-cepat fikirkan kehidupan orang yang yatim piatu. Sekurang-kurang nya Ida masih ada Mak walaupun kita hidup susah.
Bila kawan-kawan dapat beli baju yang Ida idamkan, Ida mesti rasa sedih. Ida tidak berani untuk memintanya dengan Mak. Bila kawan-kawan dapat pergi tuisyen untuk semua mata pelajaran SPM, Ida akan rasa sedih sebab Ida hanya mampu dapat pergi 3 subjek sahaja itupun di bayar atas hasil upah Ida mencucuk sate. Ida tidak kisah semua itu asalkan Mak masih di sisi. Ida bernasib baik dapat Mak yang baik dan penyayang seperti Mak. Walau macam mana pun susah kita dulu, Ida masih sayang Mak dan bersyukur-syukur sangat-sangat Mak masih di sisi Ida.
Bila kenangan lama mula singgah di fikiran Ida akan mula menangis. Ketika menaip entri ini pun Ida keluar air mata. Terpaksa di tahan, jika tidak orang sebelah akan nampak. hehe...
Ida sayang Mak. Mak la orang yang paling best, cool, baik dan penyayang yang Ida pernah jumpa. Mmmuaahhh..sayang Mak..
Nota 1 : Mak mesti baca tau..apa guna mama bayar streamyx tiap-tiap bulan..hehe..
Nota 2 : Ani, Mina..kalau kamu masih tidak sedar lagi pengorbanan Mak, tak tahu la nak kata apa dengan kamu ni. Selalu sahaja melawan cakap Mak. Kalau Mak sudah tiada di sisi baru kamu nak sedar ye.
Nota 3: Dengan nada berlagak, aku kan anak kesayangan Mak..hahahah :P kamu jangan jeolous ye Ani..haha.. :P Sekarang perasan tak, Mak selalu menangkan kakak kan dari korang..haha..betul tak. kalau korang nak tahu, dulu masa kat rumah Ampang, mak selalu belikan aku coklat foreror rocher tapi aku makan nyorok-nyorok dalam bilik sorang-sorang..xnk bg kat korang..muahaha..korang mesti jeolous kan..hahaha..
No comments:
Post a Comment