Assalamualaikum wbt.
Teringat saya pada satu hadis Nabi Muhammad SAW dan ingin rasanya saya kongsikan bersama-sama dengan pembaca. Hadis ini dikongsikan dari suami saya yang selalu membacakan hadis Rasulullah SAW kepada saya pada setiap malam sekiranya dia berada di Kulim. Terkesan di hati setelah mendengar hadis ini, disamping sangat takut dan terkejut setelah mendengar hadis ini yang keluar dari mulut suami tersayang. Hadis itu berbunyi seperti ini:
Dari Abdullah Ibn Umar r.huma meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
"(Sebelum berlakunya hari kiamat) Dajjal akan muncul dikalangan umatku dan dia akan tinggal selama empat puluh. Perawi hadith ini Hadzrat Abdullah bin Umar ra berkata: Aku tidak mengetahui apakah maksud Rasulullah SAW mengenai 40 itu samada 40 hari atau 40 bulan atau 40 tahun. Kemudian Allah SWT menurunkan Nabi Isa bin Maryam a.s yang rupanya seolah-olah seperti Urwah bin Mas'ud, untuk mencarinya dan dapat membunuhnya. Kemudian tinggalah manusia selama tujuh tahun dengan penuh aman sehingga tidak ada pergaduhan antara dua orang.
Kemudian Allah SWT meniupkan angin yang sejuk (bermula dari negeri Syam) yang dengannya mematikan sesiapa sahaja yang mempunyai iman atau kebaikan sebesar zarah sekalipun sehinggakan kalau seseorang daripada kamu berlindung di dalam sebuah bukit nescaya angin itu dapat membunuh kamu. Rasulullah SAW bersabda: Tinggalah dunia ini hanya orang-orang jahat (hatinya kosong dari iman) mereka hidup seumpama binatang buas yang tidak mengenal erti baik sebagai kebaikan dan buruk sebagai keburukan. Syaitan telah menjelma dikalangan mereka dan berkata: Tidak kamu menuruti perintahku? Mereka berkata: Apakah perintahmu kepada kami? (nescaya kami akan turuti) Maka syaitan telah memerintahkan mereka untuk menyembah berhala. (Dan mereka menuruti) Pada masa itu mereka mendapat rezeki yang banyak, hidup mereka mewah dan senang. Kemudian sangkakala (terompet) akan ditiup. Tidak ada seorang pun yang mendengar bunyi terompet tersebut (dengan suara begitu dahsyat dan menakutkan) kecuali lehernya akan terdongak kesana dan kesini. Orang yang pertama mendengar (dan terkesan dengan suara itu ialah seorang yang sedang membaiki bekas minuman air untanya dengan tanah, dia pengsan dan terus mati disitu juga.
Kemudian diikuti oleh orang lain dan matilah keseluruhannya. Kemudian Allah SWT menurunkan hujan (gerimis) seumpama embun yang memberi kesan kepada setiap jisim manusia dan kembali bernyawa. Kemudian sangkakala kedua akan ditiup dengan tiupan sekali sahaja semua manusia akan bangun dan berpandang-pandangan antara satu sama lain. Kemudian akan dikatakan kepada mereka: Wahai manusia! pergilah kamu menuju ke arah Tuhanmu! (dengan perintah daripada malaikat) mereka semua berjalan (menuju ke padang Mahsyar) berdiri untuk disoal dan dihisab. Kemudian akan dikatakan kepada mereka: Keluarkanlah daripada mereka dikalangan ahli-ahli neraka. (malaikat) Bertanya: Berapa banyakkah daripada mereka? Jawab: Setiap seribu 999. Rasulullah SAW bersabda: Inilah hari dimana kanak-kanak menjadi tua. (Hari yang paling dahsyat dan penuh ketakutan) Dihari yang Allah SWT menzahirkan ZatNya (dengan cara yang khusus). (H.R Muslim)"
"Dalam satu riwayat yang lain dinyatakan apabila para sahabat mendengar bahawa daripada seribu orang, 999 orang akan dicampakkan ke dalam api neraka mereka begitu sedih,wajah-wajah mereka berubah lalu Baginda SAW bersabda: 999 orang itu ialah dari kalangan Ya'jud dan Ma'ajud dan juga dari kafir musyrik. Seorang dari seribu orang itu ialah dari kalangan kamu (orang-orang yang beriman yang mempunyai usaha dan ikhtiar) (H.R Bukhari)"
Hadith diatas dipetik dari buku "MUNTAKHAB AHADITH" diterbit oleh KLANG BOOK CENTRE dan dicetak oleh NurPrima Sdn. Bhd. cetakan 2004 & 2008.
Berdasarkan hadith ini dapat diketahui bahawa dari seribu umat manusia Rasulullah SAW hanya seorang sahaja yang dimasukkan ke dalam syurga dan yang selebihnya dimasukkan ke dalam neraka. Bayangkan nisbahnya 1:1000, betapa banyak jurang nisbah ini. Marilah kita sama-sama muhasabah diri dan sentiasalah berdoa semoga kita adalah dikalangan seorang dari seribu itu. Hanya dengan syafa'at Rasulullah SAW dan rahmat Allah SWT (InsyaAllah) yang akan dapat menolong kita ketika berada di Padang Mahsyar nanti. Semoga kita berada di kolongan orang-orang yang beriman dan bertakwa. :)
nota : ini hanyalah sebagai nasihat dan peringatan kepada kita semua. sabda hadith Rasulullah SAW, sampaikanla walau sepatah ayat dari ucapanku kepada orang lain... :)
No comments:
Post a Comment