Thursday, March 26, 2009

Keinginan

Assalamualaikum wbt

Malam semalam tiba-tiba je saya terasa hiba. Mungkin gara-gara lepas menonton cerita senetron di siaran 106 la ni. Selepas tengok cerita ini terus rasa sensitif. Teringat kembali semua kisah-kisah sedih sama ada yang dulu dan sekarang. Teringat kembali semua impian di hati yang tidak tercapai lagi sehingga kini. Ditambah lagi dengan tinggal berseorangan jadi saya tidak dapat menolak perasaan ini dan melayankan sahaja perasaan itu. Langsung tidak mencuba untuk menepisnya.

Kemudian saya menelefon suami untuk menghilangkan rasa hiba dan untuk meluahkan perasaan yang terbuku di hati ketika itu. Hanya dia sahaja yang dapat memahami perasaan saya. Dengan dia saya berasa boleh bercerita apa sahaja tanpa berselindung sedikit pun. Saya akan menjadi open bila beborak dengan suami tersayang. Kadang-kadang tengok dari reaksi mukanya, dia mungkin merasa bosan bila saya asyik bercakap tanpa henti. Tapi mungkin nak jaga hati isteri kan, di layan nye saja la saya ni. Siapa yang tak sayang bini oii..haha..Saya pun hanya buat tak tahu je. Teruskan sahaja bercakap tanpa noktah. Saya akan terus terdiam sehinggalah bila suami mengeluarkan perkataan seperti ini, "Dah abis cakap? Orang yang banyak cakap ni lagi banyak dosanya tau. Lebih baik diam dari banyak bercakap benda yang tidak bermanfaat ataupun hal-hal dunia ini. Kan lebih baik kalau mulut ini digunakan untuk bercerita tentang hal-hal akhirat dan Allah SWT. Banyak pahalanya sambil boleh menambahkan ilmu pengetahuan kita tentang keagamaan" hehe..

Tetapi semalam saya tidak dapat meluahkannya dengan suami. Rasa macam serba salah la pula bila dia yang memulakan ceritanya. Dalam hati, suami pun mesti ada benda nak diceritakan dengan saya. Asyik saya sahaja yang bercerita dengannya. Jadinya semalam, saya hanya menjadi pendengarnya yang setia pula. Bagi saya dalam hubungan suami kena la ada sifat bertolak ansur (give and take). Jangan hanya pentingkan diri sendiri. Yang paling saya utamakan adalah menjadi seorang listener yang baik untuknya kerana dia juga sudah membuktikan yang dirinya mampu untuk menjadi seorang pendengar yang baik untuk saya. Setelah lama berborak tiba-tiba kami berdua berdiam tanpa sepatah kata pun. Telefon masih di telinga tetapi tiada satu patah kata yang keluar dari mulut kami. Hanya la bunyi nafas yang dapat di dengar. Sebenarnya suami saya memang suka buat macam ni. Dia akan tiba-tiba diam sahaja dan saya pula bila suami berkeadaan begitu, saya jadi rasa kekok pula nak memulakan bicara. Jadinya saya pun diam juga. Kami boleh berkeadaan begitu dalam waktu yang agak lama. Sampaila saya katakan pada suami untuk mengakhiri perbualan itu. Jika tidak sampai ke esok pagi la berkeadaan begitu. Itula sifat suami tersayang saya. huhu..

Selepas habis berbual, saya layan juga perasaan sedih itu. Sampai satu tahap saya rasa tidak boleh menahannya. Jadi saya menghantar pesanan ringkas pada suami.

Mesej dari saya
" Abang, ayang teringin nak anak la. Abang tak teringin ke? Ayang teringin nak ada anak sendiri, teringin nak rasa jadi seorang ibu dan yang paling penting ayang teringin nak berikan anak pada abang"

Ye jangan tak caya, walaupun sampai sekarang saya masih lagi merancang ataupun saya selalu menidakkan bila ada orang bertanyakan hal anak pada saya. But deeply in my heart say that I want it. I want to have it. I want it. Only because of the situation issue can't give me permission to make it reality ok. It's because I don't have enough power or keberanian to have a child alone without husband beside me. He only can observe me from far away but I need him beside me for every second and every minute.

Suami pun membalas dengan ringkas jek. Benci tau. Selalu je balas dengan pendek.
"Teringin jugak. Tapi sudah duduk jauh ni macam mana"

Saya membalas kembali
"Kalau macam tu abang dudukla dekat dengan ayang. Kalau 4 tahun kita duduk jauh macam ini, 4 tahun jugala kita takde anak. Sekarang ni pun dah masuk tahun kedua kita kahwin. Abang tak kisah ke?"

"Kita berdoa la ye sayang"

"Ayang bukan apa, ayang taknak abang gunakan alasan takde anak ni untuk cari perempuan lain"

suami membalas lagi tapi kali ini lambat pula mesej ini masuk ke dalam inbox phone saya
"Kalau taknak abang cari lain, jangan la diet. senang jek"

Lepas itu saya tidak membalasnya kerana taknak di layan sangat. Dalam hati, pelik betul la citarasa suami saya ini. Kalau suami orang lain, mahukan isteri yang berbadan kurus dan ramping tetapi suami saya pula sebaliknya. huhu..

Wednesday, March 25, 2009

Simpulan Kasih

Assalamualaikum wbt

Bila hati sudah berkenan. Bila hati sudah terpaut diantara satu sama lain. Bila hati sudah bersimpul dengan sekuat-kuatnya seperti lilitan ular yang sedang membelit. Bila hati sudah terasa berbunga-bunga seperti harumnya bunga mawar. Bila hati sudah mula rasa disayangi dan dihargai tiada ungkapan yang bagus dapat diucapkan. Bila hati sudah menyulam perasaan, akan wujudlah CINTA di dalam hatinya. Tiada siapa di Dunia sementara ini yang dapat menghalangnya. Hanya dengan izin dan kuasa dari Yang Maha Esa sahaja dapat menghalangnya.

Bila cinta sudah bertakhta di hati tanpa disedari. Bila cinta sudah tersulam dengan sendirinya. Bila cinta sudah tersemai tanpa diketahui. Bila cinta sudah bersatu menjadi satu. Bila cinta sudah semakin mekar seperti mekarnya bunga Matahari di waktu pagi hari. Bila cinta sudah menjadi kuat seperti kuatnya cinta Laila dan Majnun. Bila cinta sudah menjadi kukuh seperti kukuhnya bagunan KLCC. Tiada siapa lagi di Dunia sementara ini yang dapat memisahkannya. Hanya dengan kuasa dan izin Yang Maha Besar dapat memisahkannya.

Bila rindu sudah mula meraja di hati. Bila rindu semakin berkembang dihati seperti kembangnya bunga Seri Pagi di waktu pagi. Bila rindu sudah mula menjadi semakin besar seperti besarnya dunia ini. Bila sudah rindu sudah terasa semakin beratnya seperti beratnya badan seekor gajah. Bila rindu sudah terasa berat tidak tertahan. Tiada siapa di Dunia sementara ini yang dapat menahan dan memahaminya. Hanya Dia Yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui dapat memahaminya.

Bila kata-kata yang dilafazkan sudah menjadi satu. Bila kata-kata yang dilafazkan terasa tiada cacat celanya. Bila kata-kata yang dilafazkan terasa manisnya seperti semanisnya buah kurma. Bila kata-kata yang dilafazkan terasa indah seperti indahnya taman di syurga. Bila kata-kata yang diungkapkan seperti sebuah janji. Bila janji sudah dikotakan. Tiada ungkapan yang dapat menggambarkan betapa gembiranya perasaannya ketika itu. Bila-bila kata yang diucapkan seperti sebuah nasihat bagi memperbaiki diri yang lemah ini. Terasa tenang dan indahnya. Terasa kata-katanya sejuk masuk ke dalam sanubari seperti sejuknya air salji yang menyeliputi hati ini. Tiada siapa di Dunia ini yang dapat memahaminya selain dari Dia Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Bila semua janji yang diungkapkan ketika di alam percintaan dapat dikotakan. Bila sahaja lafaz akad sudah pun dilafazkan di dalam suatu majlis yang sederhana. Disinari dengan cahaya kebahagian dan kemeriahan. Secara sahnya, hubungan ini sudah menjadi halal di sisi-Nya. Bercucuran air mata mengalir di pipi kerana kebahagian yang dikecapi di saat itu. Yang berlegar di minda, semoga hubungan yang dibina akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Amin. Berdoa semoga pasangan yang dipilih juga adalah pasangan yang baik dan sesuai. Yang dapat membimbing ke arah kebaikan. Yang dapat memandu ke arah jalan yang lurus. Yang dapat membawa kita dekat kepada Pencipta kita, Yang Maha Agung. Amin. Ya Rabbal A'lamin

Bila semua sudah menjadi satu dan sudah menjadi kukuh. Tiada siapa lagi di Dunia ini yang dapat memisahkannya. Hanya dengan izin dan kekuasaan dari Yang Maha Agung dan Yang Maha Besar sahaja dapat melonggarkan ikatan yang sudah di bina. Jika perpisahan terjadi juga, tiada siapa juga yang dapat menyatukannya kembali. Hanya Dia sahaja yang mempunyai kuasa untuk menyatukan 2 hati menjadi satu dalam akad yang sah. Hanya Dia juga yang mampu menganugerahkan cinta di dalam setiap hati hamba-hamba-Nya yang di kehendaki-Nya. Semua yang terjadi adalah ketentuan yang telah di tetapkan. Semua yang terjadi juga telah ditakdirkan ke atas kita sejak azali lagi. Semua yang terjadi sudah pasti ada hikmah di sebaliknya. Tiada siapa yang mengetahuinya selain-Nya. Yang sesungguhnya Dia Yang Maha Mengetahui.

Siapalah kita yang mahu menolaknya dan menidakkannya. Kita hanyalah insan yang lemah dan tidak berdaya. Walaupun sekuat mana orang itu belum tentu dapat menyaingi kekuatan Yang Maha Agung. Kita hanya mampu berdoa memohon pertolongan dan perlindungan dari-Nya. Kerana sesungguhnya Dia Yang Maha Agung dan Yang Maha Berkuasa di atas segala-galanya di dunia ini. Dunia hanyalah perantaraan untuk mengecapi alam yang kekal di akhirat kelak. Taatilah dan patuhila setiap perintah yang diperintahkan ke atas kita. Selagi kita berada pada paksi yang benar, kita tidak akan sesat untuk selama-lamanya selagi Dia sudi memberi rahmat dan petunjuk-Nya yang banyak sekali. Yang tidak tergambar banyaknya. Marilah kita berdoa semoga Allah SWT dapat melimpahkan rahmat ke atas kita.

"Ya Rabbi, Ya Allah, Ya Tuhanku. Teguhkanla dan kuatkanla iman kami sehingga akhir hayat kami. Supaya dengannya kami dapat taat kepada-Mu sepanjang hayat kami. Janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau memberi petunjuk dan hidayah-Mu ke atas kami. Anugerahkanlah kami rahmat dan hidayah-Mu. Anugerahkanlah kami hati dan jiwa yang bersih dan suci. Anugerahkanlah kami kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Janganlah Engkau timpakan ke atas kami siksaan yang sangat besar yang tidak kami tertahankan. Harmonikanlah rumahtangga yang kami bina. Kukuhkanla ikatan yang sudah di bina. Hanya kepada Engkau tempat untuk aku bermohon. Hanya kepada Engkau tempat untuk aku mengadu nasib. Hanya kepada Engkau tempat untuk aku memohon perlindungan dan pertolongan. Perkenankanla doa kami Ya Allah. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa, Maha Agung, Maha Adil, Maha Saksama, Maha Mengetahui, Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pemurah. Perkenankanlah doa kami Ya Allah. Amin Ya Rabbal A'lamin, Rabbana A'tina Fiddunya Hasanah, Waqina Azabannar. " Amin.

Nota : Macam tak percaya saya akan berjiwang begini. hehe..tapi nak buat macam mana. Hati ini memang tengah merindui seseorang. huhu..bila la lagi kita akan bertemu ye sayang..huhu..

Tuesday, March 24, 2009

Luahan isi hati

Assalamualaikum wbt

Sekarang sudah masuk minggu ketiga saya tidak berjumpa dengan mak dan keluarga di Kuala Lumpur. Rindu rasanya. Sedih. Apa agaknya perkembangan terbaru enchi ek? Asyik dengar celotehnya di telefon sahaja. Tetapi itupun hanya sebentar kerana dia sibuk dengan kawan-kawannya. Walaupun 2 minggu yang lepas saya turun Shah Alam, tetapi tidak dapat berjumpa dengan mereka. Ini kerana motif saya untuk turun Shah Alam adalah bagi menghadiri majlis perkahwinan Has dan hanya untuk sehari sahaja berada di sana. Tidak bercadang untuk bermalam di sana. Cuma pada hari itu dapat juga saya berjumpa dengan suami yang tersayang. Minggu lepas pun suami turun ke Kulim kerana saya penat mahu pulang ke KL tiap-tiap minggu. Penat.

Minggu ini pun belum tentu mahu pulang ke Gombak atau tidak. Malas. Saya pun tidak tahu kenapa sejak kebelakangan ini, saya rasa malas sekali mahu pulang ke KL. Macam-macam perkara yang harus difikirkan. Perjalanannya juga yang mengambil masa selama 5 jam itu memang memenatkan. Melecehkan. Membosankan. Tetapi digagahkan juga bila di ingatkan akan berjumpa dengan orang yang tersayang. Jika diturutkan hati mahu sahaja saya turun KL sebulan sekali ataupun 2 bulan sekali. Walaupun sepanjang perjalanan saya tidak mempunyai tanggungjawab untuk memandu tetapi masih juga terasa penatnya. Manakan tidaknya, perjalanan selama 5 jam itu, tiada apa yang dapat saya lakukan selain duduk sahaja di kerusi sambil menikmati pemandangan di luar. Jika waktu malam, langsung tiada apa yang hendak dilihat. hehe..

Tambah membosankan jika di dalam bas itu, tidak mengumandangkan lagu-lagu yang merdu bagi menghilangkan rasa bosan. Kadang-kadang saya ambil kesempatan dengan tidur di dalam bas. Tetapi itu pun hanya setengah jam sahaja saya dapat melelapkan mata. Yang selebihnya mata tidak dapat dilelapkan. Hendak di dengar mp3, saya tidak memilikinya pula. Mungkin kena beli ni. Tetapi berbaloi ke? Telefon bimbit pula tidak canggih seperti orang lain. Tetapi seronok pula bila diingat, dapat melihat berbagai ragam peumpang di dalam bas. Ada yang berborak bersama orang disebelah sepanjang perjalanan, ada yang mendengar mp3, ada yang berangan dan ada juga yang tidur. Jika memandu kereta sendiri bolehla juga mengumandangkan lagu-lagu yang digemari sambil menyanyi sekali mengikut rentak lagu tersebut. Jika di dalam bas pasti ini semua tidak dapat di lakukan.

Bagaimanapun kos untuk memandu kereta sendiri pula lebih banyak jika hendak dibandingkan dengan menggunakan perkhidmatan awam yang ada. Tetapi ia akan jadi mudah jika menggunakan amalan carpool. Bolehla juga berkongsi sedikit kosnya. Banyak perkara yang perlu diambil kira seperti kos minyak, tol dan maintenance kereta. Jika gaji mencecah puluhan ribu mungkin ia bukan menjadi persoalan yang besar. Tetapi jika sekarang ini pun harga tiket bas sudah naik 30 % jika nak dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini. Harga minyak pun masih di tahap yang sama walaupun harga minyak setong sudah di paras yang rendah. Duit tol yang dikutip sejak berkurun-kurun lamanya pun masih tidak dapat dilunaskan lagi. Pelik betul. Ditambah dengan ada yang ingin mengumumkan untuk menaikkan harga tol yang akan dilaksanakan hujung tahun ini. Mengapa tidak dilaksanakan sahaja kenaikan itu sekarang? Kenapa mahu menuggu hujung tahun ini? Sebabnya, bagi saya la, mereka mepunyai agenda yang tersembunyi untuk kepentingan mereka sendiri. Semua ini membebankan betul. Langsung tak bertimbang rasa. Hanya memikirkan kepentingan diri sendiri. Rakyat yang sengsara pun tidak dihiraukan. Marah betul saya pada mereka yang bertanggungjawab. Tidak perlula saya menuding jari pada sesiapa cukupla sekadar ingin meluahkan perasaan saya di blog ini. Seperti pepatah melayu, Siapa makan cili terasala pedasnya.

Jika dulu suami masih disini, kami mengambil keputusan untuk memandu kereta. Ini kerana jika di buat kira-kira kosnya adalah sama dengan kos menggunakan perkidmatan awam. Memandu kereta lebih bebas. Boleh berhenti di tempat yang di gemari. Tetapi jika agenda untuk menaikkan harga tol dilaksanakan juga, maka hendaklah kami berfikir 500 kali dahulu sebelum membuat keputusan. Inila realiti penduduk Malaysia. Menjadi hamba di negaranya sendiri. huhu..

Suami saya pun sekarang sudah terasa pelik. Saya malas sekali hendak pulang ke KL. Saya menyuruhnya datang ke sini ada la. Pening kepala suami saya di buatnya. Nak buat macam abang sayang oii, isteri abang ni dah bosan asyik selalu naik bas, turun bas. Sekarang ini giliran abang la pula untuk merasanya. hehe..Lagipun apa gunanya kita sewa rumah di sini jika abang tidak mahu turun ke sini. Bukankah lebih baik ia di gunakan sepenuhnya. Lagipun di KL bukan ada aktiviti menarik yang abang nak lakukan pun. Duduk di rumah sahaja pun. Itupun rumah mak abang. Jadi bagi saya, balik ke tidak sama sahaja. Lebih baik stay di Kulim dan yang paling penting rumah sendiri. Bebas. Boleh bersenang-lenang. hehe..Sorry ye sayang. Lagipun saya sudah suka dengan suasana rumah. Aman. Tenang. Bersih. Wangi. Walaupun keadaan rumah yang sederhana tetapi saya suka suasananya.

Alhamdulillah sekarang ini, walaupun tinggal berseorangan saya tidak akan resah seperti selalu. Jika dulu, saya mesti akan rasa resah jika kena tinggal berseorangan di rumah. Al-maklumla saya ini seorang yang penakut. Mungkin sekarang ini saya sudah matang kut. Jika dulu saya ikutkan sangat perasaan takut saya itu. Tetapi Alhamdulillah saya cuba untuk melawannya kembali. Tidak boleh di layan sangat. Sekarang ini semuanya saya serahkan kepada Yang Maha Esa dan tawakkal sahajala kepada-Nya. Semoga Allah SWT melindungi hamba mu ini yang tidak berdaya.

Kadang kala, rasa seronok pula bila kena tinggal berseorangan begini. Ada privacy. Saya boleh buat macam-macam yang saya mahu. Tengok TV ke tanpa perlu berkongsi dengan suami yang asyik meng"kongka" remote astro. huhu..Boleh layan streamyx juga jika sudah bosan menonton TV kerana tiada siaran yang menarik. Tidak perlu memasak. haha..Tapi yang bosannya, tiada teman untuk berborak. Jadi kena la buat panggilan telefon. huhu..Tetapi sekarang ini saya sudah ada aktiviti baru yang saya suka. Baca buku. hehe..Dulu malas betul nak baca buku. Dalam fikiran, dah habis belajar buat apa nak buka buku lagi. hehe..Kolot betul saya ini kan. Sebenarnya dengan membaca bukula dapat menambahkan ilmu pengetahuan terutama sekali buku keagamaan.

Nota: Nak balik KL ke nak suruh suami datang sini. Peningla. huhu..Tiap-tiap minggu asyik ini sahaja persoalan yang timbul. Penat la. huhu..

Monday, March 23, 2009

Khutbah Terakhir Baginda Rasulullah SAW

Assalamualaikum wbt

Hari ini saya ingin kongsikan pesanan terakhir dari orang yang kita sanjung dan kasihi iaitu Nabi Muhammad SAW. Ia terjadi pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah.

" Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan !!! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu.

Allah SWT telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' hendaklah dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu juga.

Sekiranya mereka menyempurnakan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak diberi makan dan pakaian dalam suasana kadih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik ! dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah SWT, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu.

Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah SWT pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan.

Oleh itu, awasilah tindak tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikan pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya. Semoga orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku.

Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba Mu"

Saturday, March 21, 2009

My weakness

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah. Yesterday event was going well and smooth. Yesterday, PUO student visit Intel and we need to arrange some event for them. In that event I have responsibility to present some power point foil to them. I hope that my presentation will receive good feedback from everyone in that event. Honestly, I'm still feel that I'm not really good in the presentation skill. I need to improve it. Yes..You need to improve it. After that event, I just realized this is my weakness. I will listed it in my weakness coloumn for my achievement for this year. But how? I don't have an idea. What first step I need to take? Improve my english? But how? Take an english class? All this question still in my mind. Maybe some of you willing to help me? Really appreciated it. :)

I'm feel it's really bad. Actually this is first time, I volunteer to become presentor after 3 years 3 months I worked here. So a bit nervous. The presentation must talked in english and I'm not really good in english since in the school. During that time, all words was come out from my mouth was miserable. Really miserable. The words just come out after my mouth receive instruction from my brain. No vocabulary and grammar at all. I'm not sure what audien say in they mind. But I hope they can enjoy my presentation. huhu..

FYI, I'm not really willing or volunteer to do this presentation. Like I said in last entry. I misunderstanding the request from my supervisor in the meeting. I thought that I'm just coordinate but when I received mail from Bee Hoon. I'm really shocked. She asked me to present the foil that she sent to me. During that time, I feel like want to run. Run Zubaidah..run..run. In my mind say, Zubaidah you can't do it. Your english not really good. Your pronunciation is not good too. Really bad. I feel like want to reply her mail and inform her that I refuse to do it. But deeply in my heart says, Zubaidah you can't do like that. You will ruin your reputation. You need to take it and work hard for it. Yeah, I take it but I'm still feel really nervous and feel fear.

I'm not sure what audiens says after they saw how bad my presentation. It's really bad. From my observation, they face like want to laugh at me but they keep in they heart. huhu..Honestly I feel down. I feel like I'm the stupid person in that room. Everyone look at me like clown. Really embarasing you know. huhu..But luckily during that time, AG Tan not in the room. Only Azam come down to welcome all the student. If not I will feel really down and most nervous. FYI, AG Tan was our manager department. He's in the second top hierarchy in PDC. In my thinking says, it's ok Zubaidah, you will not see them again. haha.. So you will not feel embarased when you meet one of them personally.

My positive thinking says this 2 item. Firstly, it's ok Zubaidah, this is your first step. If not you will not realized it. Thanks to Bee Hoon, and Azam to give the opportunity and support to me during that time. Thanks to AG Tan too, since he trust on me. Really appreciated it. Secondly, I'm able to meet again my lecturer and my junior. Once I saw my lecterur, all the memories during my Poli, play in my eyes and my head. Sweet memories. The mostly I like, when my lecturer says, " Zubaidah you still same. Not change at all" haha.. In my head, why my lecterur not realized that I have a big body now. haha..Everyone told me that now that I'm bigger than before and he's the one not say like that to me. hehe..

BTW, I still enjoy the event. All the bad memories during my presentation, I will take it as a lesson for me. And the most one, I can enjoy the free food. haha.. We close the event with photo session. One of them, request to take photo with me. Just both us. During that time, I feel like someone appreciated me. hehe.. Peace.

Note 1: See I told you, I'm not good in english. I think primary student can read my essay. huhu..but I hope readers can give some comment and give some correction on the grammar so that I'm able to improve my english. hehe..Really apprecited it. :)

Note 2: I'm really missed my blog. It's has been 2 days I'm not updated my blog. huhu..

Note 3: Maybe some of you might think, why my latest entry I'm writing in english and as my point to involved in blog was to improve my Bahasa melayu essay. Actually I just want to test my english essay. During my school I always received lower mark for english essay. huhu..

Note 4: Actually I have a lot story but now I have to stop it since I need to fetch my husband at Butterworth station bus. Bye..continue later. :)

Wednesday, March 18, 2009

Penyakit dan Penawarnya

Assalamualaikum wbt

Sejak dua menjak saya sudah di landa satu wabak penyakit yang tiada penawarnya. huhu..Eh satu ke, eh bukan satu. Saya ada 2 wabak penyakit. Susah betul bagi saya nak merawatnya. Semua benda nak buat jadi tak kena. Pening kepala di buatnya. Bila la penyakit ini akan sembuh ye. huhu..

Segala perkara yang saya lakukan jadi serba tak kena. Ada sahaja halangannya. Ada sahaja bisikan yang datang membisik. Saya seorang sahaja kah yang mengalami penyakit ini? Adakah orang lain yang mengalami penyakit yang sama dengan saya?Bolehkah penyakit ini berjangkit atau adakah ia sejenis penyakit yang berjangkit. huhu.. Jika jumpa pakar sekalipun belum tentu mereka berjaya merawatnya. Doktor? Jangankan doktor, sedangkan pakar sekalipun masih belum berjaya merawat saya, inikan pula doktor. huhu..Engineer? Peramugari? Polis? Tentera? huh..langsung tiada kena mengena. Macam langit dengan bumi. Pakar motivasi? Mungkin ada peluang yang cerah tapi belum tentu saya akan sembuh sepenuhnya.

Hanya ada satu sahaja penawarnya dan hanya saya sahaja yang tahu. Tetapi penawar ini sukar untuk ditemui dan sukar untuk di dekati. Dengan penawar ini, macam-macam penyakit di badan saya ini akan sembuh. Walaupun sekritikal mana pun penyakit-penyakit yang telah melekat di badan saya ini, ia tetap akan dapat menyembuhkannya. Penawar yang ajaib. Di dunia, hanya ada satu sahaja penawar ini yang wuju. Tiada gantinya dan tiada tolok bandingannya. Tetapi penawar ini hanya boleh menyembuhkan saya buat sementara waktu sahaja. Jika habis atau sudah tiada di sisi, penyakit ini akan melanda saya kembali. Tetapi cukupla buat saya bagi menyembuhkan penyakit ini buat sebentar cuma. Cukuplah bagi saya untuk berehat sebentar dari derita penyakit yang saya alami ini. huhu..Dengan hanya sentuhan penawar ini, hilang semua derita yang saya alami sebelum ini. Terus bertukar kepada sejuk, nyaman, nikmat, suka, gembira, kenangan manis dan segala-galanya yang baik. huhu.. Ajaib kan penawarnya.

Bolehkan saya menghebohkan tentang penawarnya kepada semua orang? Bukan kah dengan menghebohkannya adalah dengan secara tidak langsung adalah suatu pemberitahuan tentang kelemahan saya? Eh Zubaidah, macam mana kamu nak menghebohkan tentang penawarnya, sedangkan penyakitnya pun belum lagi kamu beritahukan. huhu..Jadi bak kata Siti Nurhaliza biarla rahsia. haha..suka..suka..

Nota 1: Siapa boleh teka apa penyakitnya dan apa penawarnya? haha..tetapi tiada hadiah buat siapa yang betul. Cuma ia satu kepuasan bagi saya untuk buat entri yang jadi tanda tanya. hehe..

Nota 2: gementar nak tunggu hari jumaat ini. Bolehkah saya? Doakan kejayaan saya ye kawan-kawan. huhu..

Tuesday, March 17, 2009

Tandus

Assalamualaikum wbt

Jam sudah pun menunjukkan pukul 10.28 malam. Tapi saya masih lagi menaip di laptop. Maka wujud la entri ini. hehe..Mata sudah pun mengantuk tapi saya gigihkan juga untuk mengupdate blog. Kepala sudah pusing. Saya ketandusan idea. Jadinya saya ambil keputusan untuk menghiburkan kepala saya dengan menaip di dalam blog. Lancar sahaja tangan saya ini menekan setiap huruf yang ada di keyboard laptop berdasarkan arahan yang di berikan oleh otak saya. Apa yang terlintas di fikiran saya taipkan sahaja.

Kenapa saya ketandusan idea? Saya pun tiada jawapannya. Mungkin otak saya dah penat dan terasa mengantuk. Jadi otak saya tak dapat nak mengeluarkan idea yang bernas. Mungkin para doktor dan pakar psikologi dapat mengetahui puncanya. Atau saya yang bodoh. haha..Eh apa pulak, saya kategori pandai la ni sebab dapat masuk kerja di Intel. muahaha.. Tamat pengajian pun saya boleh tamatkan pengajian saya dengan mendapat CGPA 3.82. Kira pandai la tu kan. haha..Puji diri sendiri. Jangan di tiru aksi ini ok. Ini hanya untuk membuatkan entri saya nampak menarik.

Sebenarnya sekarang ini saya tengah buat nota untuk foil yang akan saya present pada hari Jumaat ini. Rasa gementar sedikit. Ini kerana ia adalah presentation saya yang pertama. Ini semua gara-gara salah faham dengan apa yang supervisor katakan ketika MSK meeting la ni. huhu..Pengajaran yang saya akan ingat dan ambil, lain kali kena pay attention setiap patah kata yang persentor ucapkan di dalam meeting. Ini semua gara-gara tak pay attention la ini. huhu..

Tapi tak mengapa. Saya ambil peluang ini sebagai cabaran. Sampai bila saya nak sentiasa berada di tahap yang sama. Saya kena juga ambil langkah berani untuk menambah baik tahap prestasi diri saya di syarikat ini. Sebenarnya saya cuba berfikir positif. huhu..Dalam hati, Allah SWT sahaja yang tahu. Ini mungkin takdir yang telah Allah SWT aturkan untuk saya. Saya harus terimanya dengan hati yang redha dan tawakkal kepada-Nya. Alhamdulillah..Subhanallah.

Ya Allah, Ya Tuhanku peliharalah hamba mu ini dan lancarkan la setiap patah kata yang saya ucapkan dan lancarkan perjalanan majlis pada hari jumaat ini. Amin Ya Rabbal Alamin.

Nota 1: Kali ini pendek saja la entri saya. Kepala dah fikir nak tidur. huhu.. Selamat malam.

Nota 2: Setiap apa yang terjadi ada hikmah nya. Terima la dengan hati terbuka. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan memberikan sesuatu sekiranya umatnya tidak mampu menanggung bebannya.

Monday, March 16, 2009

Diari hari Ahad

Assalamualaikum wbt

Semalam saya turun Shah Alam. Hanya untuk sehari sahaja. Ini bagi menghadiri majlis perkahwinan Has. Rasa tak sedap hati jika tak pergi ke kendurinya kerana dia juga menghadiri majlis perkahwinan saya dulu. Walaupun pun penat balik dari Taiping pada Sabtu yang lepas, saya gigihkan juga diri ini untuk mengikuti Zul, Mahan dan Zam untuk turun Shah Alam. Dalam hati tak penat sangat kut kalau balik hari. Lagipun bukan saya yang drive jadi penatnya mungkin kurang sikit jika nak dibandingkan dengan pemandu. Walaupun perjalanan pergi balik mengambil masa 11 jam tapi dalam hati rasa puas hati. Dapat juga saya berjumpa dengan abang tersayang di sana. hehe..

Kami berempat bertolak dari Kulim pada pukul 9.15 pagi selepas bersarapan di kedai nasi lemak. Sesampainya kami di Galeri Seni Shah Alam lebih kurang pukul 1.30, Has sudah pun selesai menaiki pelamin dan ketika itu adalah acara untuk makan beradab pula. Jadi kami terlepas scene dia bersama pasangannya menaiki bot untuk ke tempat majlis. Sebenarnya perkahwinan Has berkonsepkan dalam taman. Galeri tersebut berhadapan dengan Tasik Shah Alam. Sambil makan nasi kenduri, dapat juga kami melihat pemandangan Tasik Shah Alam yang cantik itu. Nasi kenduri nya pun sedap. Terutama kek muffin coklat yang di beri sebagai buah tangan kepada hadirin yang datang.

Cantik Has. Putih. Pengantin kan. Jadi tak sah la kalau tak makeup dan memakai baju cantik. hehe.. Teringat pula pada hari perkahwinan saya. Rindu pula dengan abang ketika ini. Walaupun sudah jumpa semalam tapi masih lagi terasa rindu. huhu..Has memakai baju kebaya songket berwarna coklat gold dengan bertudungkan ala-ala Ekin. Sambil di kepalanya di letakkakn mahkota emas dan kain lace panjang. Manakala pasangannya memakai baju melayu songket ala-ala pahlawan melayu. Di kain sampingnya di letakkan keris. Memang sebijik macam Hang Tuah. haha.. Sepadan mereka.

Setelah kami habis makan, Has menemui kami dan ketika itu bermula la episod mengambil gambar bersama pengantin. Oh yeah, teringat ketika Zam ingin mengambil gambar berdua bersama Has, Zam berdiri di atas pangku kaki pelamin. hehe.. Bagi menyamai ketinggian Has yang ketika itu memakai high heel shoe. hehe.. Paling suka dan kenangan manis, dapat juga saya dan suami merakam gambar kami berdua sahaja sambil di latari oleh arca ais berbentuk 2 ekor itik di majlis kenduri Has.

Setelah habis acara mengambil gambar kami pun mengambil keputusan untuk pulang kembali ke Kulim terus. Wah, gigihkan. Bila tengok kembali semua gambar yang diambil menggunakan kamera Sony saya, yang ketika itu saya sudah pun berada di dalam perut kereta BMW Zul, hilang rasa penat di diri ini. Seronok. Kenangan Manis. Ketika dalam perjalanan kami siggah sebentar di Hentian Tapah dan Gunung Semanggol. Ketika di hentian dapat juga bermain-main dengan Umairah. Comel. Umairah ini adalah bayi yang baru berusia 10 bulan dan anak kepada kawan saya, Tipah. Dukung dia best sangat. Ditambah dengan saya suka melayan budak-budak kecil. Saya hanya suka melayan bayi kecil berumur tak sampai setahun lagi. Bila dukung Umairah ini, dalam hati berfikir, bila la agaknya saya nak ada anak sendiri ek. huhu..Sedihnya.

Sampai di rumah sahaja, saya terus mandi dan tidur di katil. Ketika itu terasa nyaman sangat. Mana tidaknya, 11 jam di dalam kereta. Lenguh kaki di buatnya. Lena saya tidur sampaikan pagi tadi bangun lambat hendak ke tempat kerja. Kelam kabut di buatnya. Dengan baju pun masih tidak bergosok. Laptop pun masih belum di masukkan ke dalam beg. Sampaikan sweater biru saya pun, saya lupa nak bawa ke ofis kembali. Jawabnya kesejukan la saya di ofis huhu..

Dalam hati terasa puas hati. Hujung minggu saya di isi dengan aktiviti yang menarik. Alhamdulillah. Syukur sangat. Sudah lama saya tidak berjalan-jalan. Sekali berjalan, tu dia sampai beratus-ratus kilometer. Tetapi yang tak bestnya saya bercuti-cuti Malaysia tanpa di temani suami. huhu..Dulu bercuti ke Terengganu bagi menghadiri perkahwinan Zul pun, suami tiada di sisi. Susahnya la suami saya ini nak berjalan-jalan. huhu..

Note: Entri ini sebenarnya untuk hari Ahad. Sampai di rumah semalam pun jam sudah menunjukkan pukul 10 lebih, jadi tiada mood nak buka laptop. Penat. Semalam pun terlepas nak tengok cerita My Precious You di siaran 303. huhu..Nasib baik tadi Ummu sudi nak berkongsi sinopsis cerita ini. suka..suka..Terima kasih ummu. :)

Sweater Biru

Assalamualaikum wbt

Sejuk. Itu yang dapat saya gambarkan suasana saya di ofis hari ini. Saya menjenguk ke luar tingkap untuk mengetahui cuaca di luar sana. Nampak macam tak hujan. Panas ada la. Tetapi di dalam ofis ini saya terasa sejuk. Cuma sejuknya tak la sampai tahap yang boleh membuatkan saya mengigil. Cuma saya ni jenis yang tak tahan sejuk. Ditambahkan lagi dengan keadaan di ofis yang memasang penghawa dingin. Jadi kadangkala terasa sejuk dan ada kalanya juga terasa panas. Disebabkan ini saya tinggalkan satu sweater di ofis supaya senang nak cari jika diperlukan. Selalunya saya gantungkan sweater di belakang kerusi ergonomic berwarna biru muda di cube saya yang disediakan oleh Intel.

Selalunya saya akan pakai sweater di cube bila saya mula terasa sejuk. Ada kalanya ke bilik meeting pun saya akan membawa sweater bersama. Tak tahan sejuk betul la saya ini. Macam mana la agaknya jika ditakdirkan suatu hari nanti saya berpeluang ke negara yang bermusim 4 itu ek. Confirm, baju berlapis-lapis melekat di badan saya. Itu pun masih ada hati nak merasa musim salji di negara orang. hehe..Dalam hati, perasan la Zubaidah. Kuat berangan betul. hehe..InsyaAllah. Mana tahu jika Allah SWT mengurniakan rezeki lebih pada saya bolehla merasa ye tak. hehe..

Bila dah terasa panas sikit, saya akan buka kembali sweater yang saya pakai dan menggantungkannya kembali di belakang kerusi. Jika terasa sejuk lagi, saya akan memakai sweater itu kembali. Berulang-ulang. Pakai sweater buka kembali. Buka. Pakai. Buka. Pakai lagi. hehe..Itula aktiviti harian saya. Disebabkan sweater itu tergantung di belakang kerusi, jadi saya hanya menghulurkan tangan ke belakang kerusi yang saya duduki. Senang. Tetapi mata masih tetap memandang DELL monitor yang besar. Senang kan. Tak memerlukan tenaga yang banyak hanya menghulurkan tangan ke belakang. Jadi tak la saya kena berdiri untuk mencapainya. Dengan duduk sahaja pun saya boleh mencapainya. Saya ni kan pemalas. Penyakit "M". hehe..Sweater yang di capai pun saya pakaikan ke badan kembali.

Disebabkan sudah terbiasa dengan keadaan yang begini. Hari ini bila terasa sejuk, lancar sahaja tangan ke belakang untuk mencapai sweater yang tergantung di kerusi. Macam tindakan refleks. Bila badan rasa sejuk, terus sahaja badan menghantar isyarat ke otak melalui beribu-ribu jenis saraf yang ada di badan. Tak tahu pula saya saraf apa. hehe..Hanya doktor sahaja yang tahu saraf apa dan arif tentangnya. Saya tak berapa arif. Dulu saya ada belajar biology tetapi sudah lupa. Bila otak dah dapat isyarat mengatakan sejuk, dalam beberapa saat sahaja otak cepat sahaja menghantar isyarat ke tangan. Bila tangan sudah menerima isyaratnya maka dengan pantasnya ia mencapai sweater di belakang kerusi. Bila terasa sejuk sahaja tangan terus ke belakang. Tetapi hari ini saya terasa pelik. Teraba-raba la tangan untuk merasa kain sweater. Tetapi hari ini tangan tak merasa pula kain sweater seperti selalu. Tangan saya hanya merasa kain kerusi yang kasar ini. Dalam hati terasa pelik. Macam takde je sweater ini. Jadi dengan payahnya, terpaksala kali ini saya tolehkan muka saya ke belakang. Eh, memang betul sweater saya tiada di kerusi. huhu..Badan dah terasa sejuk. Dalam hati, manalah pulak sweater ni. Bila orang nak pakai takdela pula hari ini.

Jadi bermula la proses saya mencari sweater saya. Rasanya, saya memang selalu akan gantungkannya di belakang kerusi. Takde tempat lain yang akan saya letak. Cuba buka laci. Takde. Cuba buka beg. Pun takde. Cari bawah kerusi dan meja pun tiada. Dalam hati, mana la saya letak ni. huhu..Seingat saya, hanya kerusi ini la tempat saya gantungkan sweater yang berwarna biru tua. Sewaktu mencari-cari, baru teringat. Rupa-rupanya Jumaat yang lepas, saya bawa pulang sweater tersebut ke rumah untuk di basuh. huhu..Rasanya dah lama saya tidak membasuh sweater itu. Jadi saya berfikir untuk membawanya pulang pada jumaat yang lepas dan membasuhnya di waktu hujung minggu saya. Pagi tadi lupa pula nak membawa sweater biru itu kembali. Pelupa betul la saya ini. Jadi hari ini bermula episod saya kesejukan di ofis di sebabkan sweater tiada. huhu..Terpaksala saya menahan kesejukan ini.


Nota: Kena tinggalkan 2 sweater la kat cube kalau macam ini.huhu..

Saturday, March 14, 2009

Cuti-cuti malaysia

Assalamualaikum wbt

Walaupun malam ni saya terasa penat tapi saya gagahkan juga untuk membuka laptop. Sekaligus boleh meng"update" blog ini. hehe..gigih betul saya ini kan. Nak buat macam mana, saya dah mula rasa gian. Susah juga ni. Walaupun hari ini saya cuti tapi penatnya mengalahkan hari bekerja. Perut juga sudah terasa lapar tapi rasa malas pula nak masak. Macam yang mak saya pernah kata kalau penyakit "M" tu dah datang susah la nak ubatkan. Nasib baik la juga suami tiada di sisi. Jadi boleh la saya mengambil kesempatan untuk bermalas-malasan di rumah sambil melayari internet. Jika suami ada di sisi pasti ketika ini masa saya di isi dengan aktiviti memasak. huhu..Eh, saya tak boleh merungut. Austagfirrullahilazim. Ini kan sudah menjadi kewajipan seorang isteri untuk menyediakan keperluan suami. Boleh dapat pahala besar dengan senang je. Maafkan saya ye abang. Saya janji saya tak kan merungut lagi. huhu..

Sambil mengupdate blog, saya mainkan lagu nasyid di dalam folder music. Jadi tak la rasa sunyi sangat. Dalam masa yang sama kena monitored perlawanan bola sepak di siaran 812 pulak. huhu..Jangan salah anggap. Saya tak suka tengok siaran sukan ini tapi kena monitored untuk suami saya. Ketika ini suami menghadiri majlis kenduri cukur rambut. Jadi disuruhnya saya monitored pasukan kegemarannya ini. huhu..Agak-agak pasukan mana yang akan menang ek. Malasla nak fikir. Ala takpe, saya monitored je pun bukan kena tengok pun. Hanya tengok berapa banyak gol yang Manchester dapat.

Teringat lagi kenangan di siang hari tadi. Gembira. Seronok. Penat. Semuanya bercampur aduk tapi saya puas hati dengan aktiviti saya hari ini. Dapat jumpa Su, Hanim, Dayah, Fazila (Ila), Ba, Fariz, dan Ira. Walaupun perjalanan untuk sampai ke Kamunting, Taiping mengambil masa dalam sejam lebih tapi saya puas hati dapat jumpa mereka. Teringat kenangan di waktu Poli dahulu. Indah. Bila berjumpa mereka rasa seperti muda. muahaha.. Tua ke saya? Oh ye, saya suka dengan pujian Ila bila dia katakan saya macam belum kahwin je lagi. muahaha..suka..suka..kebetulan pula ketika itu suami tiada di sisi jadi boleh la ambil kesempatan untuk bermesra-mesra dengan kawan-kawan lama. Seronok.

Sebenarnya hari ini saya menghadiri hari bersejarah bagi kawan saya Fariz. Alhamdulillah. Dia melakar hari bersejarahnya di Taping Resort Golf. Hiasan di dewan nya sangat cantik dan indah. Ekslusif. Tapi bila saya menapak ke rest room resort tersebut. Terkejut betul. Tak seindah rupa. Dewan makan cantik tapi rest room kotor dan nampak usang. Tak nampak ekslusif pun. Rest room kat Pudu Raya lagi cantik. muahaha...Dalam hati sudah ramai di kalangan kawan-kawan saya sudah mula menukar status diri mereka dari bujang kepada berkahwin. Bila sudah berjumpa mereka, macam-macam cerita yang sampai di telinga ini. Seronok. Dapat tahu perkembangan kawan-kawan yang lain. Tapi yang paling saya tak suka bila ada antara kawan-kawan yang tanya bila nak bagi mereka anak buah. huhu..Sabarla ye kawan-kawan. Saya bagi peluang pada kamu semua dulu. Terutama ko Ba. Fariz pun sama jek. Awak tu dah la tengah ada atas pelamin, sempat lagi nak menyakat saya. Suka betul kamu berdua ni nak menyakat saya. Dari dulu sampai sekarang sama sahaja. Tak sah kalau tak mengusik dan menyakat saya.huhu..Rindu kamu semua. Bila la agaknya dapat jumpa kamu semua lagi ek. huhu..

Lagi satu saya puji ialah makeup pengantin perempuan. Pandai mak andam tersebut mengubah muka si Zaidah. Cantik. Beautiful. Jelita. Saya puji. Kenapa saya puji? Sebenarnya saya, Su, Ila dan Dayah sampai awal di dewan makan tersebut. So sementara menunggu ketibaan pengantin, semua rasa berdebar-debar. Masing-masing tak sabar nak tengok muka pengantin perempuan. Su cakap susah nak makeup muka si Zaidah tu. Kalau betul makeup dia cantik means mak andam tu memang power. haha..Bila pengantin dah tiba kami pun mula terkejut. haha..Muka Zaidah yang hitam tu boleh jadi putih dan cantik. haha..Jahat tak kami? Jadi sepadanla dengan Fariz yang sememangnya putih. Sebenarnya si Zaidah ini keturunan mamak. Sepanjang kami kenal si Zaidah, dia mempunyai kulit yang hitam jadi tak sangka hari ini dia nampak putih. haha.. Mampus saya kalau Fariz baca entri ini. Tapi tak mungkin kut kan. Dia mana tahu saya ada blog. haha..Kalau Fariz terbaca pun, maafkan saya ek. Saje nak buat entri saya ini menarik..hehe..Tapi betul saya suka dengan make up mak andam tu. Nasib baik saya dah kawin. Jika tidak akan saya upah mak andam ni untuk majlis saya pulak. haha..Kuat betul saya berangan kan.

Balik dari kenduri kahwin tersebut, Ila menjemput saya singgah ke rumahnya di Gunung Semanggol. Katanya dekat je dari Kamunting. Ambil masa 15 minit perjalanan. Dalam hati bolehla tumpang solat sekali. huh..Bagi dia dekat la. Sepanjang perjalanan saya berkata, bila nak sampai rumah Ila ni. huhu..Tapi takpe walaupun perjalanan ke rumah Ila mencabar tapi saya puas hati. Sebabnya selepas balik dari rumah Ila, Ila bawa saya jalan-jalan di Bukit Merah. Katanya dekat je dari rumahnya. Dalam fikiran, dah alang-alang datang sini ambil kesempatan singgah ke sana. Cantik juga kawasannya. Rupa-rupanya banyak juga tempat menarik di Malaysia ini. Nanti la lain kali boleh ajak suami ke sana lagi. Boleh bersuka ria. hehe..

Nota 1: Malam ni takde idea nak buat karangan menarik. Tapi boleh la kan. hehe..Penat sikit hari ini jadi tak dapat berfikir sangat.

Nota 2: Esok jadi ke zam, zul dan mahan ni nak pergi kenduri Has ni? Zam tak mesej lagipun pukul berapa nak gerak esok. huhu..Esok ada kenduri kahwin Has pula. Esok kena turun Shah Alam. Penat tak rasanya kalau turun KL balik hari? Tak pernah lagi saya buat. huhu..Baru pertama kali nak cuba. Tapi takpe kut, esok kan naik kereta BMW jadi cepat je la nak sampai KL kan. hehe..Tapi takpe hujung minggu saya kali ini, seronok dapat makan angin. hehe..banyak betul tapi saya kn?

Friday, March 13, 2009

Pagi Jumaat yang kecewa

Assalamualaikum wbt

Hari ini sudah hari Jumaat. Cepat sahaja masa berlalu. Rasa takut dan seram pun ada. Orang kata, makin kita rasa, masa makin cepat berlalu, makin dekat la kita dengan ketibaan Hari Qiamat. Wallahu'alam. Hari ini macam tak percaya saya boleh bangun awal pagi untuk ke tempat kerja semata-mata nak mengejar meeting dengan US site pukul 7. Kalau kena meeting dengan US site macam ni la. Suka sangat la mereka ni nak buat meeting awal pagi waktu Malaysia. Nasib baik meeting ini hanya berlaku setiap hari jumaat sahaja. Jika kebiasaanya saya akan bangun pukul 6.15 atau 6.30. Tapi hari ini saya kena bangun seawal pukul 5.40 pula. huhu.Untuk mengejar solat subuh dan sekaligus supaya saya sampai di ofis tepat pukul 7. Jadi saya tidak akan terlepas dari meeting tersebut. Nasib baik masa menaip ini mata saya masih rasa segar lagi. hehe..Sebab itu saya menulis entri ini..hehe..

Sebelum bersiap pakai tudung saya akan start engine kereta saya dulu. Suami selalu pesan suruh panaskan enjin lama-lama di waktu pagi. Jadinya saya kena la start engine dulu baru bersiap. Orang perempuan bersiap kan lambat. Biasala, dah nama perempuan. hehe.. Habis saya bersiap saya terus keluar rumah menuju ke garaj kereta dan terus masuk ke dalam kereta. Saya rasa semangat datang kerja awal-awal pagi. Dah hampir 6 bulan saya tak masuk kerja pukul 7, jadi rasa semangat sikit. Saya pun dengan bangganya memandu kereta melalui Highway-BKE dalam keadaan yang masih gelap. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 6.40 pagi. Tapi saya masih lagi dengan prinsip memandu secara berhemah. Saya hanya memandu 70 km/j. Ye jangan tak percaya. Saya memang seorang pemandu yang berhemah. Ni pujian untuk diri sendiri. hehe.. Walaupun ada kereta lain yang cuba mencucuk saya, saya abaikan je. Masih steady memandu 70 atau 80 km/j, walaupun kereta saya berada di lane laju. haha..Poyokan. Dalam hati, apa la yang mereka nak kejar ek? Bawa laju-laju. Lagipun kereta saya besar jadi tak rasa takut kalau ada orang cucuk saya dari belakang. Sebab saya tahu saya boleh pecut macam mereka juga cuma saya je yang tak mahu. haha..berlagak kan? Takpe saya berlagak dalam blog ini je. Tapi secara realiti saya tak akan mengamalkannya k. Tapi tittle pemandu berhemah ini akan hilang kalau saya memandu di Highway-PLUS. Boleh mencecah 150 km/j. haha..Kecut perut juga bila ingat balik. Tapi masa memandu rasa seronok. haha..Tak ingat orang yang tersayang betul la saya ini. Anda mampu mengubahnya. haha..

Sampai sahaja di parking lot. Saya cuba cari parking yang dekat dengan pintu masuk bangunan. Jadi tak la jauh sangat nak berjalan. hehe..Pemalas kan. Alhamdulillah pencarian saya berjaya. Walaupun hampir-hampir bontot kereta saya nak melanggar kereta kancil biru di sebelah empty parking lot tersebut, saya gagahkan juga nak parked di tempat itu juga. Itu sahaja tempat yang paling dekat. Sebenarnya keadaan di parking lot itu gelap jadi pandangan saya kabur ketika melihat cermin tepi. Saya suka parking kereta dengan memasukkan bontot kereta dahulu di dalam parking lot tersebut. Jadi kena la melihat cermin sisi. Saya nak tujukan ucapan terima kasih kepada kawan serumah saya yang dulu iaitu MasB. Kerana dia la yang menunjuk ajar saya, cara nak parking kereta dengan memasukkan bontot kereta dahulu. Terima kasih sangat-sangat B. Jasa mu sangat-sangat di hargai.

Lepas puas hati dengan cara meletak kereta, saya pun mematikan engine dan keluar dari kereta. Dengan bangganya berjalan menuju ke pintu utama untuk memasuki bangunan Intel. Datang awal kan..haha..Riak betul saya ini. Takpe ini hanya untuk memanjangkan entri saya sahaja. Supaya nampak menarik. muahaha..Sejujur-jujurnya saya tak riak. haha..Sampai di pintu saya scan badge sebabnya pintu tertutup dan tak terbuka sendiri seperti biasa. Jadi kenala scan badge dahulu baru boleh masuk bagunan. Tak kan nak pecahkan cermin yang besar itu pula ek. Untuk pengetahuan, pintu masuk bangunan Intel adalah cermin yang sangat besar bukan kayu ek. haha..Terus menuju ke lif. Bila lif terbuka saya terus masuk ke dalam lif dan tekan nombor 3. Ofis saya terletak di tingkat 3. Sampai sahaja di tingkat 3 saya terus menuju ke cube saya. Kebiasaanya saya akan terus ke bilik meeting atau Intel panggil CR-Room (Conference Room). Untuk pengetahuan Intel banyak sangat CR-Room. Untuk tingkat saya sahaja ada lebih kurang dalam 21 bilik. Banyakkan? Tapi hari ini saya terpaksa menuju ke cube saya dahulu kerana saya baru teringat yang charger battery laptop saya ada di laci cube. Jadi di fikiran saya terfikir bolehla saya meletak beg sekali. Beg? Ye saya pergi kerja membawa beg sandang belakang. Macam budak sekolah kan. Tapi tak kan saya nak pegang laptop dengan tangan je ye tak.

Sampai di cube, buka laci, ambil charger dalam laci. Keluarkan laptop dalam beg, pastu terus simpan beg dalam laci. Saya simpan beg dalam laci untuk keselamatan dari berlaku kecurian. Baik sediakan payung sebelum hujan ye tak. Saya pun berjalan keluar dari cube untuk menuju ke bilik meeting. Baru sahaja menapak 3 langkah, saya baru teringat, pagi-pagi ini selalu sejuk kat ofis ni, lupa nak ambil sweater pula. Jadi saya ambil keputusan untuk patah balik ke cube. Untuk ke bilik meeting saya kena melalui cube office mate yang lain. Sampai di cube Lung Sing, dia masih ada di situ lagi. Jadi saya mengajaknya sekali ke bilik meeting. Dia senyum melihat saya sampai mata nya yang sepet jadi makin sepet. hehe..Rupa-rupanya dalam dia ketawa itu ada maksud di sebaliknya. Dia kata meeting sudah cancel. huhu..Phill Lee hantar email pukul 6.40 pagi kata cancel. Kecewa tak? Mana la saya sempat nak buka email dulu. Sebab dalam fikiran nak buka email dalam CR-Room nanti. Walaupun kecewa tapi dalam hati tetap bersyukur jumpa dengan Lung Sing dahulu. Jika tidak saya buat meeting sorang-sorang je la dalam conference room itu. haha..Saya bangun punya la awal sehinggakan saya pendekkan waktu berzikir saya, tetiba si Phill Lee ni batalkan meeting last minutes pula. Phill oo Phill, nasib baik kamu jauh nun di sana beribu batu. Nasib baik juga la kamu itu punya jawatan tinggi. Jika tidak sudah lama saya dajjalkan kamu punye cube. haha..Saya berani cakap je tapi tak berani buat pun. haha..

Nota 1: Panjang betul entri saya kan? Semata-mata hanya bercerita tentang waktu pagi saya. haha..Belum lagi saya buat cerita untuk aktiviti seharian saya. Maunya tak muat muka surat blog ini. haha..Sebenarnya saya saja nak buat karangan panjang-panjang. Saya kan nak improve karangan saya. hehe

Nota 2: Phill, bila saya datang awal untuk meeting kamu. Kamu batalkan pula. Bila saya datang lambat kamu tak batalkan pula. huhu..Dalam hati berkata. Sabar ye Zubaidah..InsyaAllah..Atas kesabaran kamu, kamu akan sentiasa di dampingi oleh malaikat di sisi mu. Amin..Subahanallah..hehe..

Thursday, March 12, 2009

Penakut

Assalamualaikum wbt

Baru 2 hari tak jumpa suami, saya sudah mula rasa rindu. Sudah 2 malam juga saya tidur seorang. Suami sudah pulang ke KL atas urusan kerja. Bila lagi la agaknya suami saya akan datang menjenguk. huhu..Sedih. Menitis air mata semasa menghantar suami ke stesen bas. Alangkah baiknya jika suami dapat menetap di Kulim juga. Alangkah baiknya jika suami mendapat kerja yang tetap di sini. Mungkin takdir masih tak menyebelahi kami untuk hidup bersama seperti pasangan suami isteri yang normal. huhu..

Bila kena tidur sorang ni mula la teringat kenangan dulu-dulu. huhu..Penakut betul saya ni. Sampai nak tidur pun kena berteman. Saya pun tak tahu kenapa. Ada pengalaman ngeri yang saya alami tapi saya tak nak ceritakan. Rasa ngeri bila ingat balik. Bila tidur berseorangan ada sahaja mimpi buruk yang bertandang sampai terjaga. Walaupun dah macam-macam doa yang saya baca sebelum tidur, mimpi buruk itu mesti akan singgah. Bila terjaga mata saya pula tak dapat di lelapkan kembali. Jadinya saya pejamkan mata sahaja, tarik selimut tutup satu badan dan letak bantal kecil di atas muka. Punyala penakutnya saya dulu. Walaupun cuaca ketika itu agak panas, saya tetap akan selimut satu badan. Pernah tak anda rasa kena himpap? Saya pernah..huhu..ngerikan..Saya banyak kali kena semasa di rumah lama. Pernah tak anda mengalami pengalaman dimana bila anda tutup mata, anda nampak macam-macam rupa yang mengerikan? Saya pernah dan selalu. Bayangan mengerikan itu muncul sejak saya kecil lagi. Bayangkan, bayangan ngeri itu muncul di depan mata anda. Anda masih mengaku anda berani? Hipokrit la. Ketika waktu sujud pun, rupa-rupa itu akan muncul juga. Saya tak pasti anda juga mengalami pengalaman seperti saya. Jika ada, bagi tahu saya ek..huhu..

Alhamdulillah sekarang saya dapat tidur dalam keadaan selesa dan aman. Saya rasa tenang dan nyaman. Walaupun tak berapa nyenyak tapi perasaan takut itu masih ada tapi tidakla seteruk dulu. Penakut betul saya ini. Tapi nak buat macam mana, perasaan ini memang sejak azali lagi. Saya tak percaya jika ada orang yang kata dia betul-betul berani. Dalam diri dia mesti ada perasaan takut walaupun sekelumit juga tapi konon buat-buat berani. Hipokrit. Saya pun pernah juga cuba buat-buat berani. Bukan saya tak pernah cuba. Tapi saya tak berani tanggung risiko dan saya tak nak jadi hipokrit. Biarla orang kenal saya sebagai penakut tapi janji saya tak hipokrit dengan berlagak berani. Saya ini seorang yang lemah semangat jadi jika anda benda itu yang menganggu saya pasti akan jadi lain macam. Mungkin keadaan di sekeliling juga memainkan peranan juga.

Alhamdulillah rumah yang sekarang ini saya belum pernah lagi mengalami peristiwa yang ngeri lagi. Ditambah dengan keadaan rumah saya yang bersebelahan dengan rumah ustaz. Jadi kawasan rumah tidak rasa sunyi sepi disebabkan suara-suara budak-budak mengaji. Saya suka keadaan yang riuh rendah dari sunyi sepi. Menyeramkan. huhu..Ya Allah Ya Tuhanku, lindungilah dan selamatkanla hamba mu ini dari gangguan syaitan dan jin lelaki dan jin juga perempuan. Amin. Saya selalu berdoa begini setiap kali lepas solat. Semoga Allah SWT memperkankan doa hamba mu ini. huhu..

Inilah salah satu sebab mengapa saya tak suka dan tak nak tengok cerita seram. Jangan kata tengok cerita nya, tengok iklannya pun saya tak mahu tengok. Saya sanggup tak mahu buka siaran TV3 disebabkan banyak kali diulang tayang iklan cerita seram tersebut. Saya tak nak teringat kembali scene seram dalam cerita-cerita itu nanti bila kena tinggal sorang. Lagipun bagi saya cerita-cerita ini takde moral story dan tiada kebaikan yang boleh diserapkan pun. Lagi nak membuatkan kita khayal, lalai dan lupa pada kewujudan Yang Maha Esa ada lah. Lagi nak membuatkan kita takut pada benda yang tak wujud itu ada la tapi kita tak takut pada Allah SWT pula kan. Lebih baik saya tengok cerita Ehwal Islam ke, tengok Chef Home ke, CSI ke, atau cerita-cerita yang boleh menambahkan ilmu keduniaan dan keakhiratan saya. Terfikirkah kita, bukankah lebih baik jika masa yang kita habiskan tengok cerita seram itu, kita habiskan dengan membaca Al-Quran ke, solat sunat ke, baca buku agama ke atau berzikir dan berselawat ke atas Rasulullah SAW lebih dari 1000 kali. Saya pun baru terfikir apabila kena lecture dengan suami bila saya asyik duduk di depan televisyen sahaja. Sesungguhnya dengan zikir dan selawat boleh menambahkan dan memperbanyakkan pahala kita. Teringat dengan hadis-hadis Rasulullah SAW, barangsiapa yang membaca Subhanallah sebanyak seratus kali, Allah SWT akan mengurniakannya 1000 pahala untuknya. Ada lagi satu, barangsiapa yang menyebut La'ila'ha ilallah, diharamkan ke atasnya api neraka. Ada satu hadis menceritakan ahli neraka yang di bakar di neraka tapi tidak pada mukanya dan hatinya disebabkan dia selalu menyebut perkataan La'i la ha illallah. Tapi saya tidak ingat keseluruhannya. Nanti bila saya ada masa saya akan paparkan dalam blog ini. Sebabnya buku hadis tersebut suami saya bawa sekali ke KL. huhu.. Tidak kah kita mahu merebut faedahnya? Apa yang anda dapat dengan melihat cerita-cerita seram tersebut? Anda pasti anda dapat pahala? Anda pasti amal anda sudah cukup untuk membantu anda di hari pembalasan kelak?

Anda percaya hantu wujud? Saya tak percaya. Saya percaya dengan kewujudan jin dan syaitan sahaja. Di dalam Al-Quran sendiri pun tidak dinyatakan kewujudan hantu tetapi hanya nama jin dan syaitan yang tercatit di dalam Al-Quran. Itu semua adalah rekaan manusia atau kemungkinan itu adalah jelmaan jin ataupun syaitan. Yang ingin menakut-nakutkan kita dan melalaikan kita. Cuba saya tanya, bila anda terkejut ada anda menyebut nama Allah SWT seperti Subhanalllah ke, Allahuakbar ke? Yang selalu kita dengar "Makk..". Tidak kurang jugak yang melatah kan. Sampai mengeluarkan perkataan yang tidak elok. Walaupun saya tak percaya hantu wujud tapi saya masih penakut kan. Pelikkan? Jangan lupa saya pun manusia biasa. Tapi itula realiti perangai manusia. Mereka tidak takutkan Allah SWT tetapi takutkan makhluk Allah SWT pula. InsyaAllah. Sekarang dengan bantuan suami saya tengah cuba untuk membuang perasaan takut itu. Doakan kejayaan saya ye. Suami banyak beri tunjuk ajar dan panduan kepada saya. Alhamdulillah ia berkesan walaupun tidak sepenuhnya tapi bagi saya ia sudah baik.

Saya pun sebenarnya tak suka bila ada orang yang nak buat sinopsis cerita-cerita seram yang sudah di tengok oleh mereka di depan saya. Dalam hati rasa geram betul. Rasa sakit hati. Ngee..ngee..ngee..Tapi bila fikir secara rasional, itu hak mereka. Mereka ada hak nak berkata-kata apa pun. Kita kan mengamalkan sistem demokrasi. Itu kata pemimpin negara Malaysia la tapi tak nampak pun di amalkan. Tapi kali ini saya tak nak cerita topik politik ni. Saya abaikan dulu hal-hal politik ini kerana saya beranggapan hal-hal agama pun banyak yang saya tak tahu lagi. Baik diutamakan hal-hal agama dahulu. Disebabkan amalan demokrasi ini la, saya berharap kawan-kawan saya menghormati pandangan dan tabiat saya yang tidak suka tengok atau dengar cerita-cerita seram ini. Jika nak bercerita janganla di depan saya. huhu...Harap diampunkan jika ada salah dan silap.

Sebelum tidur, saya cuba mengamalkan mengambil wuduk dahulu dan membaca Bismillahirrahmanirrahim sebanyak 21 kali, surah 3 qul sebanyak 3 kali, Ayat qursi sebanyak 3 kali. Dan berzikir dan berselawatla sebanyak 100 kali untuk setiap satunya. Berzikir itu adalah dengan membaca Subhanallah, La'i lah ilAllah dan Austagfirrullahilazim. InsyaAllah. Tidur dalam keadaan tenang dan aman. InsyaAllah, malaikat akan menjaga kita sepanjang kita tidur sehinggalah mata di buka. InsyaAllah, kita sentiasa dalam naungan Allah SWT. Amin..

Nota: Tahun ini melepas lagi la peluang berangan nak ada cahaya mata. Terpaksa ditangguh lagi. huhu..Ingatkan kalau suami masih bekerja di tempat lama, bolehla berangan nak ada cahaya mata. huhu..

Wednesday, March 11, 2009

Hadith (ii)

Assalamualaikum wbt

Masih seperti selalu. hehe..saya ingin berkongsi satu hadith yang baru saya dengar. Tapi tak pandai nak buat kesimpulan. Jadi biarlah pembaca yang buat kesimpulannya. hehe..

Dari Abu Kahsyah Anmari r.a bahawa beliau telah mendengar Nabi SAW bersabda: 3 perkara yang mana aku bersumpah dan akan menceritakannya kepadamu dan selepas itu ada seperkara lagi yang penting yang akan aku ceritakan kepada kamu. Ingatlah ia baik-baik. (3 perkara yang aku bersumpah terhadapnya: Pertamanya ialah:) Harta seorang hamba tidak berkurangan kerana bersedekah. (Keduanya ialah:) Seseorang yang dizalimi dan dia bersabar menghadapinya, maka Allah SWT akan menambahkan kemuliaannya, berkat sabarnya itu. (Ketiganya ialah:) Sesiapa yang membuka pintu meminta-minta kepada manusia, maka Allah Ta'ala akan membuka baginya pintu kefakiran.

Kemudian Nabi SAW bersabda lagi: Satu perkara yang ingin aku beritahu kepada kamu semua, Ingatilah ia baik-baik! Di dunia ini ada 4 jenis manusia: Pertama: Dia yang diberi oleh Allah Ta'ala harta kekayaan dan pengetahuan, (Dan dengan ilmu yang ada padanya) dia takut kepada Allah SWT berkenaan hartanya. (Maka dia tidak membelanjakannya dengan cara yang berlawanan dengan keredhaan Allah SWT, bahkan dia membelanjakannya yang menghubungkan silaturrahim. Dan dia juga tahu bahawa di dalam harta ini ada hak Allah Ta'ala. Lantaran itu, dia membelanjakannya di dalam perkara kebaikan). Orang ini akan berada di Hari Kiamat kelak pada tingkatan yang terbaik. Orang kedua ialah: Dia yang Allah Ta'ala telah memberinya ilmu dan tidak memberinya harta. Dia mempunyai niat yang baik dan bercita-cita, bahawa jika aku mempunyai harta, maka aku juga membelanjakannya (di dalam hal-hal kebaikan) seperti si Fulan. Maka kerana niatnya ini, maka [Allah Ta'ala akan memberi kepadanya pahala seperti yang dibri kepada orang yang pertama]. Dengan ini pahala mereka berdua adalah sama. Orang ketiga ialah: Dia yang Allah Ta'ala memberinya harta, tapi tidak menganugerahkan kepadanya ilmu. Oleh kerana ketiadaan ilmu dalam harta-harta benda ini, dia telah melakukan kesalahan [membelanjainya bukan pada tempatnya], tidak juga dia takut kepada Allah SWT dalam hal harta benda ini. Dia juga tidak menghubungi silaturrahim, juga tidak mengetahui bahawa ada hak Allah SWT di dalam harta ini. Pada hati Qiamat kelak nanti, orang ini berada pada tingkatan terburuk.

Keempat ialah: Orang yang Allah SWT tidak memberinya harta dan tidak juga ilmu. Dia bercita-cita, jika aku mempunyai harta maka aku juga (akan membelanjakannya bukan pada tempat yang sepatutnya) seperti si Fulan iaitu orang ketiga. Maka dia akan mendapat dosa kerana niatnya itu. Dan dosanya sama sahaja seperti dosa orang yang ketiga. Yakni azam baik dan buruk akan membuahkan pahala dan dosa, seperti amalan baik dan buruk itu sendiri. (HR Tarmizi)

Nota: Hadith di atas dipetik dari buku MUNTAKHAB AHADITH diterbit oleh KLANG BOOK CENTRE.

Tuesday, March 10, 2009

Marah

Assalamualaikum wbt

Seingat-ingat saya la, saya senang sahaja meluahkan kemarahan saya pada orang lain. Terutama keluarga saya. Yang selalu jadi mangsa adik-adik saya. Ini kerana saya yang paling tua jadi egonya tinggi.hehe..Pantang ada yang silap, pasti saya akan naik angin. Kadang-kadang bila difikir-fikir kembali saya ni panas baran jugak. Mungkin ikut keturunan mak saya kut. Hehe..Teringat dulu waktu kecil-kecil, habis badan saya dan adik-adik yang lain lebam-lebam kena bantai dengan mak jika kelakuan kami tak di senangi oleh mak. Pantang silap sikit, pasti mak akan bantai dengan kayu besar. Tapi jangan salah anggap. Mak bukan mendera kami adik beradik. Ini salah satu cara didikan mak kepada kami. Sebenarnya saya bersyukur, jika tidak dengan didikan mak, pukulan tangan mak dan kesan lebam-lebam di badan, mungkin saya tidak akan berjaya seperti ini. Terima kasih mak. Ini semua hasil didikan mak.

Tapi bila dah besar ni, rindu pula nak kena marah dengan mak. Huhu..Tapi sekarang ni Ani la yang selalu jadi mangsa kat rumah. Ko je yang masih tinggal di rumah pun sebab kakak-kakaknya yang berdua ini sudah ikut pasangan masing-masing. Jadi Ani, sekarang giliran kamu. Kami semua masa kecil sudah selalu kena.haha..Best tak Ani? Teringat kenangan bila dapat buli adik-adik. Hehe..suka..suka..Untuk pengetahuan, kadang kala saya pernah cubit adik-adik saya sekuat hati sampai ada kesan lebam yang ketara sebab marahnya saya pada mereka. Terutama Ani dan Anam. Kesian mereka. Kakak minta maaf ye. Sampai Ani kata nak balas dendam pada anak saya nanti..haha..Takpe jangan risau, lambat lagi la kamu nak merasa anak buah baru. Kamu tunggulah anak buah yang bakal keluar bulan 5 ni. Hehe..Kamu balas dendam la pada budak kecik yang baru ni..haha..jangan marah ek minah..huhu..Ani rindu la nak cubit ko lagi. Hehe..Tapi sekarang kalau cubit ko, mesti ko tak rasa sakit pun kan, sebabnya lemak dah banyak di badan. Haha.. :P

Saya juga ingin memohon maaf untuk adik-adik saya (macam adik saya baca je blog ni..hehe..kalau ada pun si minah senget tu je..haha..oppss..maaf ye adik minah ku sayang..haha..) dan kawan-kawan jika ada yang pernah kena herdikan saya dan ada yang terasa dengan saya. Saya ini hanya manusia biasa sahaja, tidak lepas dari melakukan kesalahan. Harap diampunkan salah dan silap saya.

Hari isnin yang lepas saya ada mendengar program di Astro Oasis bertajuk “Rawat Hatinya”. Rasa insaf sekejap lepas dengar kata-kata dari ustaz tersebut. Walaupun tak bertentang mata tapi kata-katanya menusuk di hati. Macam kena tusuk dengan susur panah. Huhu..Ingin rasanya di kongsi bersama. Ustaz ini berkongsi bagaimana cara untuk kita mengatasi dan mengawal marah dengan cara yang betul. Ini adalah isi-isi dari program tersebut. Hanya sikit yang dapat saya catitkan. Isi yang lain-lain nya tidak dapat saya catitkan sebabnya fikiran dah melayang. hehe..Program ini disiarkan setiap hari sehingga 14 Mac ini, pukul 6.30 ptg di saluran 106. Bagi yang berkesempatan, tengokla program ini. Menarik isi-isi nya. hehe..

Ustaz ini ada bercerita tentang seorang sahabat di zaman Rasulullah SAW. Ketika itu sahabat ini ada bersama dengan Rasulullah SAW. Sahabat ini di marahi oleh seseorang yang lain. Rasulullah tidak berkata-kata apa pun ketika sahabatnya ini dimarahi oleh orang lain, malah Rasulullah SAW hanya tersenyum lebar sahaja. Tetapi dia masih ditempatnya, tidak berganjak sedikitpun. Ketika sahabat ini mula berkata-kata untuk memarahi orang tersebut. Rasulullah SAW terus bangun dari tempatnya. Selepas peristiwa itu, sahabat ini bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kejadian tersebut. “Ya Rasulullah, mengapa pada ketika aku di marahi oleh orang tersebut, kamu senyum sahaja, tetapi bila sahaja aku berkata-kata dan memarahinya kembali, kamu terus bangun Ya Rasulullah”. Rasulullah SAW menjawab “ Di kala kamu dimarahi, aku tersenyum kerana aku melihat malaikat mengelilingi di sekitar badan kamu disebabkan kamu sabar. Tetapi bila mana kamu berkata-kata aku melihat syaitan mengelilingi di sekitar badan kamu pula. Itulah sebabnya aku bangun”.

Kesinambungan kisah ini tidak dilanjutkan oleh Ustaz A'agim ini. Masa itu terfikir mesti bila saya marah syaitan banyak disekeliling saya. Eee..seramnya. huhu..padanla bila saya marah selalu rasa panas dan merah je muka..Rupa-rupanya api dah mengelilingi badan saya..huhu..

Pertama sekali, jika ada orang yang marah pada kita:
  1. Kita harus bersyukur kepada Allah SWT sebab bukan kita yang marah. Tapi orang itu yang tengah marah.
  2. Kita juga harus rasa kesian padanya kerana dia tidak dapat menahan marahnya. Kesian padanya disebabkan dia akan mendapat dosa.
Kedua, jika ada yang marah pada kita:
  1. Kita cuba senyum sahaja pada orang yang tengah marah pada kita itu. Jangan cuba untuk berkata-kata.
  2. Cuba bergerak dari tempat tersebut dengan secepat mungkin. Supaya syaitan tidak dapat menghasut kita. Jika tengah berdiri, cubalah duduk. Jika tengah duduk, cubalah untuk berbaring.
  3. Seharusnya ambillah wuduk. Sesungguhnya marah itu datangnya dari syaitan dan syaitan itu datangnya dari api, dan lawannya api adalah air. InsyaAllah kita akan terlepas dari godaan syaitan durjana ini.
Ustaz ini ada beri formula yang boleh menjadi panduan kita untuk cuba mengawal kemarahan kita. BMTENSOFALIS

B- Benar bila berkata-kata. Jangan didustakan setiap patah kata yang keluar dari mulut
M- Manfaat. Bila berkata-kata cuba untuk berkata-kata yang boleh memanfaatkan orang lain.
TEN-Tenang bila berkata-kata
SO- Sopan bila berbicara
FA-Fasih. Jangan banyak bicara yang tidak patut dan tidak manfaat
LE-Lembut. Usahakan bicaranya jangan kasar. Berbicara dengan lemah lembut
S- Secukupnya. Cuba usahakan untuk secukup-cukupnya dalam berbicara jangan dilebihkan.

Memang betul ada orang kata setiap kesabaran ada hadnya. Saya sendiri pun pernah mengalaminya dan saya sendiri pun mengamalkan perinsip ini. Kadang-kadang perasaan amarah itu tidak dapat dibendug-bendung. Macam kes saya dengan DE saya. Haha..Marah betul saya dengan si DE ini. Huhu..Rasa insaf kejap bila saya ingat balik kejadian ini. Huhu..Austagfirrullahilazim.. Tapi macam ustaz ni cakap. Jika kita hendak hati yang bersih, cuba usahakan untuk rawat hati kita. Marah juga adalah salah satu punca yang boleh menyebabkan hati kita jadi rosak. Jika masih menjadi keupayaan kepada kita untuk menahan sabar atau menahan marah adalah lebih baik diamalkan. Jangan sampai ia merosakkan hati kita. Semoga kita akan mendapat balasan yang baik dari Allah SWT. Adalah perkara paling utama dan penting bagi umat Islam untuk menjaga hati dari rosak. Sesungguhnya hati yang rosak tidak dapat membuat solat kita khusyuk. Wa’allahua’alam.

Monday, March 9, 2009

Dikala hujan

Assalamualaikum wbt

"Memori daun pisang, kita jalan-jalan..lala.." Bila hujan-hujan teringat lagu dangdut Iwan dengan Amelina ni. hehe..Jangan ingat saya pelayan tegar lagu dangdut. Hanya teringat lagu ni popular semasa waktu kecil saya. Waktu petang saya hari ini rasa sejuk. Nyaman dan enak. Angin sejuk dan sepoi-sepoi masuk ke dalam rumah. Ditambah dengan makan cekodok pisang sambil menghirup air teh "o" berperisa strawbery waktu hujan-hujan ni, urmm..sedapnye tak terkata. Orang kata waktu hujan ni kita akan rasa lapar. Memang betul pun. Habis satu sisir pisang saya buat cekodok sahaja. Ditambah dengan suami yang paling menggemari makan cekodok pisang. Habis cekodok yang saya goreng untuknya di kala hujan ini. Kembang kempis hidung dibuatnya bila suami memuji masakan saya. hehe..

Sebenarnya saya takde idea pun nak tulis apa hari ini. Tapi nak juga update entri tiap-tiap hari. hehe..poyokan. Tapi peduli apa. Ni kan blog saya. Suka hati saya la nak tulis entri pape pun dalam blog ini. Kalau ada yang kata blog saya ni boring ke, perasan cun ke, perasan baik ke dan macam-macam lagi la. Peduli hapa saya. Ni blog saya, jadi suka hati saya la nak tulis apa pun. Kalau dah boring nak baca, lepas ni jangan la baca lagi blog saya ini. Bukan saya rugi pun kalau anda baca blog saya ke tak. Bukan saya yang terhegeh-hegeh pun suruh anda baca blog saya. Bukan saya pun yang iklankan dan canangkan kat semua orang link blog saya. Anda yang dapat sendiri kan? Saya pun tak kisah kalau ada orang yang bagi komen macam ni. Akan saya abaikan. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Bukan dapat faedah pun. Baik di abaikan sahaja. Biarla dia yang sakit hati sendiri. Saya tak sakit hati pun. Rasa lagi semangat nak update blog tiap-tiap hari lagi ada la. hehe..cahiyookk ida..

Lagipun tujuan utama saya buat blog ini adalah untuk memperbaiki cara penulisan karangan bahasa melayu saya. Disamping dapat juga saya mengisi masa lapang saya sama ada di rumah ataupun di ofis. Saya ni bukannya pelayar internet yang tegar. Cepat rasa bosan. Tapi bila terlibat dalam dunia blog ini saya tak rasa boring pula. Suka. Boleh buat macam diari. Suami pun dah rasa pelik. Cuti 3 hari ni, asyik buka laptop jek. Pastu mengadap laptop sampai berjam-jam. Pastu menaip panjang-panjang plak tu. hehe. Abang jangan risau ek, saya bukan chatting dengan budak-budak lelaki pun ataupun hantar email cinta. Saya hanya mengupdate diari saya je abang. hehe..Saya masih setia dengan abang. eceh..jiwang la pula..gelinya..huhu..

Esok dah mula masuk kerja. Dah lama cuti ni, rasa malas pula nak pergi kerja. Ingat nak pujuk suami supaya esok hantar pergi kerja la. Malas nak drive keta..huhu..

Nota 1: kepada pembaca-pembaca yang suka blog ini, diharap jangan terasa ek. Saya hanya ingin meluahkan isi hati saya pada pembaca-pembaca yang tak suka akan blog ini. Ini kan blog saya jadi suka hati saya la nak tulis apa kan. Kalau dah tak suka, saya tak kisah pun kalau lepas ni anda dah serik nak baca pun. Takde keuntungan pun bagi saya. babai..

Nota 2: Kepada pembaca-pembaca yang suka blog ini, silakanla melayari blog saya ini selalu tapi saya tidak sediakan hadiah bagi siapa yang paling kerap baca blog saya ini..hehe..sorry

Sunday, March 8, 2009

Diari hujung minggu di Kulim

Assalamualaikum wbt

Hari ini masih lagi tiada aktiviti yang menarik yang saya lakukan sewaktu cuti hujung minggu. Masih lagi dengan rutin harian ketika hujung minggu. Keluar sarapan bersama suami, beli barang keperluan di Long Wan, duduk di rumah, suami menonton tv, saya pula melayari internet dan waktu petang kami akan keluar ke pasar malam untuk membeli barang keperluan basah pula. Ini kerana saya tidak pulang ke KL walaupun cuti 3 hari tapi lebih suka berada di Kulim. Bolehla mengemas rumah ke, mengemop rumah ke, membasuh kain ke, buang sawang ke, potong rumput ke dan buat apa yang patutla. hehe..

Saya lebih gemar membeli barangan basah di pasar malam. Harganya lebih murah jika nak dibandingkan dengan Pasar Besar Kulim ataupun kedai-kedai runcit. Cerita pasal kedai runcit ini, teringat dengan kedai runcit di taman saya ini. Mahal giler. Makcik kedai itu kaut untung yang banyak sangat. Banyak kali jugak terkena. huhu.. Lepas tu nekad taknak beli barang basah kat kedai makcik tu. Walaupun leceh nak pergi pasar malam, janji saya puas hati dapat beli barangan yang lebih murah dan bermacam-macam jenis lauk. Bayangkan kalau saya berbelanja di pasar malam, saya hanya memerlukan dalam RM25 untuk dapatkan 2 atau 3 jenis lauk. Itupun boleh tahan stok untuk seminggu. Jika nak di bandingkan dengan kedai makcik itu, habis berbelanja rm20 pun hanya dapat satu lauk itu pun hanya tahan stok untuk 2 hari sahaja. Harga cili dan sayur-sayur di kedai itu pun jangan di tanya. Untuk pengetahuan kat Kulim masih lagi tiada Pasaraya besar seperti Giant atau Tesco. Yang ada hanya The Store. Tapi rasanya barangan di The Store lagi mahal jika nak dibandingkan dengan Long Wan. Itu salah satu diantara sebabnya saya suka membeli belah di Long Wan, lagipun lokasinya dekat dengan taman saya. Kalau ada pun Giant atau Carefour yang terdekat kena pergi Seberang Prai pula. Tapi rasa-rasanya jika dikira-kira duit minyak dan tol, lebih kurang sama sahaja shopping di Kulim. Dah takde susah-susah nak kira duit tol dan minyak. Jimat sudah..hehe.. Tapi pada masa akan datang, pasaraya Giant akan wujud di Kulim. Yea!!! Pembinaan bagunan pasarayanya pun hampir siap. Jadi lepas ini, takde sebab saya nak pergi shopping kat Seberang Prai.

Oh ye, lupa pula. Semalam saya ada juga melakukan aktiviti yang saya tak pernah lakukan sepanjang berada di Kulim. Berjogging. Pagi-pagi lepas solat Subuh, suami suruh bersiap nak berjogging. Katanya dah lama tak bersenam rasa semput kalau buat kerja sikit. Suami saya jenis yang kuat bersukan. Jika di KL dia gemar bermain badminton bersama kawan-kawannya pada waktu malam. 3 kali seminggu mesti main badminton. Waktu petang pula di isi dengan bermain sepak takraw di padang Changkat. Balik pada jogging tadi, kami berjogging di Taman sebelah stesen bus Kulim. Saya pun tak tahu apa nama taman tu. haha.. Sampai di sana, saya nampak ada orang aerobik la pula. Terasa ingin ikut menari bersama mereka. Saya biarkan suami berjogging sorang-sorang. hehe.. Saya masih ingat dengan rentak poco-poco yang saya pelajari di kelas aerobik yang dianjurkan oleh Intel. Jadi saya boleh mengikuti step mereka. Seronok macam buat dancing show..haha..Lepas itu, saya sudah tak dapat nak mengikuti rentak mereka. Putus asa. Jadi saya ambil keputusan untuk ikut suami berjogging. Baru satu pusingan lari, saya sudah semput..huhu..Suami pun ajak pulang.

Balik daripada joging kami singgah di gerai untuk bersarapan. Saya dan suami suka bersarapan pagi di gerai sebelah kedai Bihun Sup PakLong. Kedai ini terletak di Kelang Lama. Suami kata roti canai nya sedap dan saya pula suka Kuewteow Goreng Kerang kat kedai itu. Sedap!!! Kalau datang Kulim jangan lupa nak mencubanya. hehe..Kalau waktu petang dan malam saya dan suami suka ke kedai Abang E di Lunas. Kedai itu ada menjual roti arab, roti jala dan capati yang sedap. Saya lebih suka memesan roti arab ataupun roti jala. Kalau capatinya saya lebih menyukai capati di kantin ofis saya. Lagi besar dan lagi sedap..hehe..Tapi kebiasaanya saya dan suami akan pergi waktu petang. Sebab malamnya saya lebih suka masak di rumah.

Walaupun dulu saya rasa tak berapa suka tinggal di Kulim tapi sekarang saya dah rasa betah tinggal di sini. Untuk pengetahuan dulu saya bekerja di Penang, pastu Intel bagi transfer ke Kulim. Masa mula-mula nak kena pindah kat sini, rasa tak seronok sangat. Tapi sekarang saya rasa suka pula tinggal di sini. Kalau dalam sebulan tak balik KL pun saya tak risau. Cuma yang tak bestnya bila rindu dengan suami, Mak dan adik-adik di KL. Jadi kena la juga balik walaupun sebulan sekali. Nak hilangkan rindu di hati.

Nota 1: Teringin nak pergi mandi-manda di Sungai Sedim tapi suami taknak pula. huhu. Susah betul nak memujuk suami ni keluar jalan-jalan. Katanya duduk di rumah lagi best..huhu..Harap-harap esok suami lembut hati nak pergi. Esok masih cuti lagi.

Nota 2: Macam mana agaknya keadaan enchi bila mak takde ni. Nak telefon Ani la. Tanya khabar dia.

Saturday, March 7, 2009

Kenapa ek?

Assalamualaikum wbt

Entri kali ini adalah untuk peringatan dan pedoman bagi diri saya tetapi ingin dikongsikan bersama-sama dengan pembaca. Jika sudi ambillah iktibar darinya. Tidak dinafikan ada di antaranya sifat-sifat di bawah berada di dalam diri saya juga. Kita hanyalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Tetapi marilah kita jadikan ia pedoman untuk membuangnya sikit-sikit atau terus dari diri kita dan memuhasabahkan diri kita. Renung-renungkanlah.

Kenapa ek takde di antara kita yang ketika kecil bercita-cita untuk menjadi tahfiz ke, jadi ustaz ke, jadi imam ke, jadi bilal ke? Takde kan? Pelikkan? Kita sebagai orang Islam pun takde yang bercita-cita nak jadi seperti ini. Walaupun ada tapi hanya segelintir sahaja. Kurangnya pendedahan tentang kepentingan dan kelebihannya menyebabkannya ia kurang mendapat sambutan . Majoriti semuanya nak jadi doktor ke, jurutera ke, polis ke, tentera ke, cikgu ke dan banyak lagi. Tidak kurang juga yang bercita-cita nak jadi pramugara dan peragawati. Walaupun mereka berjaya menjadi apa yang di cita-citanya,dalam masa yang sama mereka tetap tidak dapat menggabungkan untuk berjaya dalam hal-hal keagamaan juga. Tidak di nafikan wujud juga orang yang boleh berjaya di dunia dan akhirat (InsyaAllah), tapi tidak ramai. Jika kita bandingkan dengan zaman dahulu, ramai juga cendiakawan-cendiakawan Islam yang berjaya. Seperti Al-Razi, Al-Farabi, Al-Biruni, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun dan ramai lagi. Tokoh yang paling menonjol sekali adalah Rasulullah SAW sendiri. Mereka bukan sahaja boleh berjaya dalam hal-hal kedunian tetapi dalam masa yang sama mereka masih juga boleh berjaya dalam hal-hal keagamaan. Kenapa kita tak boleh mencontohi mereka ek?

Kenapa ek masih ada diantara kita yang tidak menghormati dan taat kepada kedua ibu bapa kita? Dosa besar. Austagfirrullahilazim. Tidakkah kamu tahu, Allah SWT hanya akan redha kepada kita sekiranya kedua orang tua kita redha pada kita. MasyaAllah. Anda tidak takut sekiranya Allah SWT tak redha pada kita? Sekarang ini pun di akhbar-akhbar banyak di paparkan anak lari dari rumah, anak bunuh ayah, ibu di hantar ke rumah orang-orang tua dan macam-macam lagi. Allah SWT berfirman, jangan sekali-kali berkata kamu “hah” kepada kedua orang tua kamu. Walaupun sejahat mana orang tua kita, kita harus taat kepada mereka. Kita hanya di benarkan melawan kedua ibu bapa kita sekiranya ajarannya bertentangan dari hukum Allah SWT itupun dengan cara yang lembut dan bukannya dengan kekasaran. Tahukah anda di zaman Rasulullah SAW sendiri, ada seorang pemuda yang berbakti dan taat dengan sepenuh hati kepada kedua orang tuanya walaupun kedua-duanya sudah bertukar menjadi babi hitam. Bayangkan betapa kasihnya anak ini pada kedua ibu bapanya. Allah SWT telah menjanjikannya masuk ke Syurga kerana ketaatannya. Tidak kah kita mahukan balasan seperti ini?

Kenapa ek kita selalu sahaja merasa cemburu, busuk dan iri hati dengan kejayaan dan kebahagiaan seseorang? Rasa macam zaman kanak-kanak la pulak. Hanya kanak-kanak yang tak tahu bezakan antara yang baik dengan yang buruk. Ingatkan dah besar ni, boleh la fikir secara matang dan waras. Ingatkan kalau sudah dewasa ini, iman penuh di dada. Tetapi masih lagi wujud manusia jenis ini di antara kita kan? Punya kuat iri hati nya sampai sanggup untuk menjatuhkan dan menghancurkan kebahagiaan orang tersebut. Sepatutnya kita merasa tumpang gembira dan bersyukur di atas kejayaannya. Sepatutnya kita ambil iktibar supaya lebih taat kepada pencipta kita kerana Allah itu Maha Pemurah dan Allah SWT itu Maha Adil tiada sesuatu yang lain yang lebih adil dari-Nya. Setiap kejadian sudah tersurat dan setiap kejadian yang terjadi juga ada hikmah di sebaliknya. Mungkin, jika di dunia ini Allah SWT tidak mengurniakan kejayaan dan kebahagian, InsyaAllah di akhirat kelak kita akan mendapat kebahagiaan yang abadi. Wallahua’alam. Ini lebih bermakna dari kebahagiaan di dunia. Tidakkah kita mahu kebahagiaan yang kekal abadi? Pelikkan manusia zaman sekarang. Semasa di zaman Rasulullah SAW, para sahabat berlumba-lumba untuk mendapatkan kunci memasuki Jannah.

Kenapa ek takde plak diantara kita yang iri hati apabila seseorang itu berubah menjadi taat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW? Ni tak. Takdela pula dalam hati berazam untuk menjadi seperti orang tersebut. Menyampah tengok tersebut adalah kan? Setiap kali bila ada orang lain yang ingin berubah, ada sahaja cakap-cakap belakang. Ala dia alim-alim kucing jek. Kejap lagi jadi setan balik la tu. Austagfirrullahilazim. Sepatutnya kita beri dorongan dan semangat kepada orang tersebut supaya lebih taat dan kukuh imannya. Dan kita juga sepatutnya mengambil iktibar dan berazam untuk meniru orang seperti itu.

Kenapa ek takdela plak diantara kita yang berani nak menegur kesalahan orang lain yang sememangnya bertentangan dengan hukum Allah SWT? Kita buat tak nampak lagi ada la kan? Austagfirrullahilazim. “Ala biarla, dia yang dapat dosa. Kang kalau aku tegur dia, dia cakap aku nak tunjuk baik plak.” Ayat ini selalu kedengaran kan? Rasulullah SAW pernah bersabda, tegur menegur la di antara sesama kita, jika tidak boleh dengan kata-kata, tunjukla dengan perbuatan. Walaupun ia pahit tetapi untuk kebaikan mereka. Sanggupkah kita melihat ada di antara keluarga kita, kawan-kawan kita yang akan di seksa di akhirat kelak? Sanggupkah kita? Sesungguhnya ia amalan yang mulia di sisi Allah SWT.

Kenapa ek takde plak diantara kita yang sanggup menerima nasihat dan teguran yang dari orang lain dengan hati yang terbuka? Di cemuhnya lagi ada la kn? Sampai sanggup mengeluarkan perkataan, “Kubur masing-masing”. Austagfirrullahilazim. Benar bagai di kata, kubur masing-masing tetapi sepatutnya kita kena bersikap lebih terbuka. Jangan disempitkan lagi fikiran yang memang sudah sempit. Semua teguran tersebut adalah untuk kebaikan kita. Tidak kah kita idam-idamkan Syurga yang kekal abadi, yang di dalamnya adalah yang indah-indah belaka yang langsung tidak terdapat di dunia yang sementara ini? Teringat dengan program di Astro Oasis bertajuk "Rawat Hatinya" yang di sampaikan oleh seorang ustaz dari Indonesia. Yang mengatakan untuk memperbaiki diri dan hati, kita kena terima dengan baik dan berfikir positif setiap teguran orang yang datang kepada kita. Ini secara tidak langsung boleh merawat hati kita yang telah rosak.

Kenapa ek takde plak diantara kita yang ingin mengaku salah dan kalah di atas setiap perbuatannya? Bagi dia hanya dia seorang sahaja yang betul. Ego tinggi. Terutamannya bagi kaum lelaki. Tetapi jangan tak tahu, ada juga di kalangan kaum perempuan yang bersikap begini. Mengapa kita nak bertekak tentang isu dunia ini yang hanya untuk melalaikan kita dari mengingati Allah SWT. Mengapa kita nak lanjutkan perbualan yang sia-sia dengan bertekak diantara satu sama lain yang hanya menambahkan dosa kita. Bukankah lebih baik jika isu yang di bincangkan tentang hal keagamaan. Sekaligus boleh menambahkan pahala kita. Sesungguhnya bertekak di antara satu sama lain boleh membuatkan hubungan kita dengan orang itu renggang. Adalah lebih baik di diamkan sahaja. Itu lebih bermakna, kerana hubungan sesama kita pun masih utuh. Tetapi jika isu itu melibatkan hal agama adalah wajib bagi kita untuk membetulkannya jika ia betul-betul bertentangan, jika kita arif tentangnya, jika tidak adalah lebih baik di diamkan, takut ia akan menjadi satu perbuatan bida’ah. Adalah lebih baik bagi kita berdiam diri dari mengatakan sesuatu yang sia-sia yang hanya akan menambahkan dosa kita.

Kenapa ek ada diantara orang kita yang masih kedekut dan liat untuk mengeluarkan hartanya ke jalan Allah SWT? Berperasaan takut duit makin susut jika bayar zakat dan bagi sedekah pada fakir miskin. SubhanAllah. Jangan kata tidak ada orang begini. Masih wujud lagi di zaman ini. Sesungguhnya harta ini adalah kurniaan Allah SWT yang di beri kepada kita sebagai perantaraan untuk sama-sama berkongsi di antara satu sama lain. Ia bukan hak kita seorang sahaja. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Adil dan Maha Pemurah. Memang betul jika ada yang kata, aku siang malam kerah tulang empat kerat, takkan senang-senang je orang itu nak dapat. Tapi tahukah kita, itu semua adalah bantuan dari Allah SWT. Tanpa bantuannya kita tak dapat nak menggunakan tulang empat kerat kita. Sebagai contoh, apakah anda larat untuk bekerja sekiranya Allah SWT mengurniakan kesakitan dan kecacatan kepada kita? Apakah anda akan berjaya sekiranya Allah SWT menyempitkan rezeki kita? Jangan sekali-kali cuba untuk berfikir bahawa semua kejayaan yang kita perolehi adalah dari usaha kita sendiri tanpa bantuan dari orang lain. Ini sudah kufur namanya kerana kita menganggap Allah SWT tidak membantu kita. Sesugguhnya semua kejayaan yang kita perolehi adalah hasil bantuan dari Allah SWT. Allah SWT itu Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Tahukah anda semakin banyak kita bersedekah semakin banyak Allah SWT akan mengurniakan rezeki kepada kita. Subhanallah.

Kenapa ek masih lagi ada diantara kita yang masih suka melengah-lengahkan solat? Tidakkah kita tahu besar kelebihan dan manfaatnya solat di awal waktu. Kita hanya memikirkan hal keduniaan sampai lupa untuk menyegerakan dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Ada separuh ulamak mengatakan; melengah-lengahkan solat juga adalah di antara orang yang lalai di dalam hal solatnya. Austagfirrullahilazim. Boleh pula kita terus melaksanakan tugas yang di beri oleh seseorang dengan cepat tetapi perintah Allah SWT kita lengah-lengahkan. “Ah takpela, waktu zohor masih panjang, siapkan dulu kerja ni baru pegi solat. Kerja banyak ni, kang tak siap pulak.” atau "Ah takpela, cite ni habis sebelum waktu Isyak, sempat lagi kalau nak solat maghrib lepas cite ni habis. Lepas cite ni habisla baru solat maghrib." Ayat ini selalu kedengaran kan? Tidak kurangnya bagi suri rumah, lebih mengutamakan kerja-kerja rumah dan hal anak-anak dari perintah Allah SWT. Tidak menjadi hal sekiranya tidak menjadi keupayaan baginya untuk melaksanakan solat di awal waktu. Tetapi selagi menjadi keupayaan, tinggalkanla sementara kerja di tangan dan segeralah bersolat. Mari kita renungkan-renungkan hadis Rasulullah SAW di bawah. Jadikan lah hadis ini sebagai pedoman untuk kita memperbaiki diri. Amin..

“Dari Abu Qatadah ibn Ruba’I r.a meriwayatkan: bahawa Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman; Sesungguhnya Aku telah memfardhukan ke atas umatku sembahyang lima waktu dan Aku telah berjanji kepada diriKu, barangsiapa menjaga sembahnyangnya pada tepat waktunya, Aku akan memasukkannya ke dalam syurga dan barangsiapa yang tidak menjaga sembahnyangnya, maka tidak ada perjanjian baginya disisiKu.” (H.R. Abu Daud)

“Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa menjaga sembahnyang fardhunya (dengan istiqamah) tidak akan digolongkan dikalangan orang-orang yang lalai (dari beribadat kepada Allah).” (H.R Ibn Khuzaimah)

“Dari Abdullah ibn Umar r.a meriwayatkan; Suatu hari Nabi SAW bersabda tentang sembahyang fardhunya tepat pada waktunya; pada hari kiamat nanti akan menjadi Nur kepada orang yang mengerjakannya, menjadi penghujah bagi pihaknya dan menjadi penyelamatnya. Sebaliknya tidak ada Nur, pembela dan penyelamat bagi orang yang tidak menjaga sembahyangnya dan pada hari Kiamat mereka akan digolongkan bersama Firaun, Haman, dan Ubai bin Khalaf.” (H.R Ahmad dan Tabrani)

"Dari Fadhalah ibn Ubaid r.a berkata; Satu hari Baginda Rasulullah SAW duduk bersama kami. Tiba-tiba datang seorang lelaki lalu dia bersembahyang. Selepas sembahyangnya dia berdoa; (Allahhumma'g firli Warhamni - ertinya; Wahai Allah! Ampunilah aku dan kasihanilah aku). Lantas Baginda Rasulullah SAW bersabda: Kamu tergesa-gesa di dalam doamu. Apabila kamu duduk selepas sembahyang, hendaklah kamu memuji Kebesaran dan Keagungan Allah SWT dan berselawatlah ke atasku, kemudian berdoalah. Fadhalah r.a berkata; Kemudian seorang lelaki telah bersembahyang dan beliau telah memuji Allah dan memohon selawat ke atas Baginda Rasulullah SAW. Kemudia Baginda Rasulullah SAW telah bersabda: Sekarang mohonlah doa dan permohonan itu akan dikabulkan." (HR Tarmizi)

“Dari Abdullah ibn Qurtd r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Perkara pertama yang akan di hisab bagi seorang hamba pada hari Kiamat ialah solat. Sekiranya solatnya baik, maka amalan-amalan yang lain akan di terima dan jika solatnya rosak, maka semua amalan-amalan yang lain akan rosak.” (H.R Tabrani. Targhib)

Nota 1: Tiada kaitan di antara yang hidup dengan yang mati. Hanya sebagai nasihat dan pedoman.

Nota 2: Hadis-hadis di atas di petik dari buku Muntakhab Ahadith. Terbitan Klang Book Centre dan di cetak oleh NurPrima Sdn. Bhd. Penyusunya Hadzrat Maulana Muhammad Yusuff Al-Kandhalawi.