Assalamualaikum wbt
Masih seperti selalu. hehe..saya ingin berkongsi satu hadith yang baru saya dengar. Tapi tak pandai nak buat kesimpulan. Jadi biarlah pembaca yang buat kesimpulannya. hehe..
Dari Abu Kahsyah Anmari r.a bahawa beliau telah mendengar Nabi SAW bersabda: 3 perkara yang mana aku bersumpah dan akan menceritakannya kepadamu dan selepas itu ada seperkara lagi yang penting yang akan aku ceritakan kepada kamu. Ingatlah ia baik-baik. (3 perkara yang aku bersumpah terhadapnya: Pertamanya ialah:) Harta seorang hamba tidak berkurangan kerana bersedekah. (Keduanya ialah:) Seseorang yang dizalimi dan dia bersabar menghadapinya, maka Allah SWT akan menambahkan kemuliaannya, berkat sabarnya itu. (Ketiganya ialah:) Sesiapa yang membuka pintu meminta-minta kepada manusia, maka Allah Ta'ala akan membuka baginya pintu kefakiran.
Kemudian Nabi SAW bersabda lagi: Satu perkara yang ingin aku beritahu kepada kamu semua, Ingatilah ia baik-baik! Di dunia ini ada 4 jenis manusia: Pertama: Dia yang diberi oleh Allah Ta'ala harta kekayaan dan pengetahuan, (Dan dengan ilmu yang ada padanya) dia takut kepada Allah SWT berkenaan hartanya. (Maka dia tidak membelanjakannya dengan cara yang berlawanan dengan keredhaan Allah SWT, bahkan dia membelanjakannya yang menghubungkan silaturrahim. Dan dia juga tahu bahawa di dalam harta ini ada hak Allah Ta'ala. Lantaran itu, dia membelanjakannya di dalam perkara kebaikan). Orang ini akan berada di Hari Kiamat kelak pada tingkatan yang terbaik. Orang kedua ialah: Dia yang Allah Ta'ala telah memberinya ilmu dan tidak memberinya harta. Dia mempunyai niat yang baik dan bercita-cita, bahawa jika aku mempunyai harta, maka aku juga membelanjakannya (di dalam hal-hal kebaikan) seperti si Fulan. Maka kerana niatnya ini, maka [Allah Ta'ala akan memberi kepadanya pahala seperti yang dibri kepada orang yang pertama]. Dengan ini pahala mereka berdua adalah sama. Orang ketiga ialah: Dia yang Allah Ta'ala memberinya harta, tapi tidak menganugerahkan kepadanya ilmu. Oleh kerana ketiadaan ilmu dalam harta-harta benda ini, dia telah melakukan kesalahan [membelanjainya bukan pada tempatnya], tidak juga dia takut kepada Allah SWT dalam hal harta benda ini. Dia juga tidak menghubungi silaturrahim, juga tidak mengetahui bahawa ada hak Allah SWT di dalam harta ini. Pada hati Qiamat kelak nanti, orang ini berada pada tingkatan terburuk.
Keempat ialah: Orang yang Allah SWT tidak memberinya harta dan tidak juga ilmu. Dia bercita-cita, jika aku mempunyai harta maka aku juga (akan membelanjakannya bukan pada tempat yang sepatutnya) seperti si Fulan iaitu orang ketiga. Maka dia akan mendapat dosa kerana niatnya itu. Dan dosanya sama sahaja seperti dosa orang yang ketiga. Yakni azam baik dan buruk akan membuahkan pahala dan dosa, seperti amalan baik dan buruk itu sendiri. (HR Tarmizi)
Nota: Hadith di atas dipetik dari buku MUNTAKHAB AHADITH diterbit oleh KLANG BOOK CENTRE.
No comments:
Post a Comment