Sejak tengah hari tadi, rasa macam tak sedap hati. Tidak tahu la kenapa. Dengar lagu nasyid yang baru di download tadi. Ingatkan boleh hilangkan rasa gundah gelana di hati. Tetapi hati ini masih tidak tenteram lagi. Mungkin teringatkan mak yang sekarang sudah berada jauh beribu batu. Teringat pula adik-adik di rumah tanpa mak. Moga-moga mak sentiasa berada dalam keadaan baik di seberang.
Bila di kenang-kenang kembali, saya ini asyik nak memikirkan hal dunia yang sementara ini sahaja. Macam-macam yang hendak difikirkan sampai lupa untuk mengingati-Nya. Mungkin sebab ini Allah SWT mengurniakan hati yang selalu tidak tenteram pada saya. Austagfirrullahilazim.
Setiap malam sebelum tidur saya akan cuba untuk memaafkan kesalahan semua orang pada saya. Ini salah satu terapi bagi saya untuk mententeramkan hati. Saya ada mendengar satu ceramah ustaz di radio IKIM, mengatakan salah satu cara untuk mententeramkan hati adalah dengan memaafkan semua orang. Tidak kira berapa besar kesalahan orang itu. Kadangkala bila timbul rasa benci, marah dan dendam pada seseorang cepat-cepat saya cuba untuk muhasabah diri. Takut-takut hati makin tidak tenteram dan yang paling ditakuti solat jadi tak khusyuk sebab hati dah jadi hitam dan keras. Nabi SAW pernah berfirman, amalan pertama sekali yang akan dihisab di padang Masyar adalah solat. Sekiranya bagus solat kita maka amalan yang lain pasti bagus juga. Jika buruk amalan solatnya maka akan burukla amalannya yang lain.
Sebenarnya dulu saya ini seorang pendendam. Alhamdulillah dengan bimbingan suami, dapat saya kikis sikit-sikit sikap tersebut. Rasa bersyukur (Alhamdulillah) dapat bimbingan dari orang yang tersayang. Tak kisah la kalau ada orang kata kawin awal sangat tapi rupa-rupanya ada hikmah disebaliknya. Ada orang yang dapat membimbing saya ke jalan yang benar dan lurus. Ini lebih bermakna dari hal dunia ini. Setiap apa yang terjadi, sudah tersurat di Loh Mahfuz sejak kita azali lagi. Hanya dengan usaha yang keras dapat mengubahnya. Setiap apa yang terjadi juga ada hikmah di sebaliknya yang telah di tetapkan oleh Allah SWT. Kita hanya hamba kepada pencipta-Nya.
Suami pun selalu mengingatkan saya bila setiap kali saya bercerita tentang seseorang padanya. Dia kata tidak baik bersangka buruk pada orang dan sentiasa berdendam dengan orang. Semoga Allah SWT melindungi hambamu yang hina ini. Teringat dengan 2 hadis Rasulullah SAW:
"Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Seorang hamba yang mencintai mana-mana hamba Allah SWT kerana-Nya, dia adalah telah mengagungkan Allah Yang Maha Perkasa." (HR Musnad Ahmad)
"Dari Abu Dzar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik amal disisi Allah SWT adalah mencintai seseorang kerana Allah SWT dan memusuhi seseorang kerana Allah SWT" (HR Abu Daud)
Nota 1: Tidak bererti jika saya boleh memaafkan seseorang, sewenang-wenangnya boleh pijak kepala. Setiap kesabaran ada hadnya. Saya pun manusia biasa sahaja.
Nota 2: Lega bila mak menelefon tadi. Katanya dia sudah sampai di Batam. Alhamdulillah. Selepas ini dapatla menghubungi mak selalu. Tidak kisah la kalau bil telefon naik bulan ini janji dapat tahu keadaan mak setiap masa.Nota 3: Teringat lagu "Jagalah hati" nyanyian kumpulan Snada
Nota 4: Kedua-dua hadis di atas adalah petikan dari buku Muntakhab Ahadith terbitan Klang Book Centre. Penyusunnya adalah Hadzrat Maulana Muhammad Yusuff Al-Khandahlawi. Berpegang teguh la kita pada sunnah Rasulullah SAW.
No comments:
Post a Comment