Entri kali ini adalah untuk peringatan dan pedoman bagi diri saya tetapi ingin dikongsikan bersama-sama dengan pembaca. Jika sudi ambillah iktibar darinya. Tidak dinafikan ada di antaranya sifat-sifat di bawah berada di dalam diri saya juga. Kita hanyalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Tetapi marilah kita jadikan ia pedoman untuk membuangnya sikit-sikit atau terus dari diri kita dan memuhasabahkan diri kita. Renung-renungkanlah.
Kenapa ek takde di antara kita yang ketika kecil bercita-cita untuk menjadi tahfiz ke, jadi ustaz ke, jadi imam ke, jadi bilal ke? Takde kan? Pelikkan? Kita sebagai orang Islam pun takde yang bercita-cita nak jadi seperti ini. Walaupun ada tapi hanya segelintir sahaja. Kurangnya pendedahan tentang kepentingan dan kelebihannya menyebabkannya ia kurang mendapat sambutan . Majoriti semuanya nak jadi doktor ke, jurutera ke, polis ke, tentera ke, cikgu ke dan banyak lagi. Tidak kurang juga yang bercita-cita nak jadi pramugara dan peragawati. Walaupun mereka berjaya menjadi apa yang di cita-citanya,dalam masa yang sama mereka tetap tidak dapat menggabungkan untuk berjaya dalam hal-hal keagamaan juga. Tidak di nafikan wujud juga orang yang boleh berjaya di dunia dan akhirat (InsyaAllah), tapi tidak ramai. Jika kita bandingkan dengan zaman dahulu, ramai juga cendiakawan-cendiakawan Islam yang berjaya. Seperti Al-Razi, Al-Farabi, Al-Biruni, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun dan ramai lagi. Tokoh yang paling menonjol sekali adalah Rasulullah SAW sendiri. Mereka bukan sahaja boleh berjaya dalam hal-hal kedunian tetapi dalam masa yang sama mereka masih juga boleh berjaya dalam hal-hal keagamaan. Kenapa kita tak boleh mencontohi mereka ek?
Kenapa ek masih ada diantara kita yang tidak menghormati dan taat kepada kedua ibu bapa kita? Dosa besar. Austagfirrullahilazim. Tidakkah kamu tahu, Allah SWT hanya akan redha kepada kita sekiranya kedua orang tua kita redha pada kita. MasyaAllah. Anda tidak takut sekiranya Allah SWT tak redha pada kita? Sekarang ini pun di akhbar-akhbar banyak di paparkan anak lari dari rumah, anak bunuh ayah, ibu di hantar ke rumah orang-orang tua dan macam-macam lagi. Allah SWT berfirman, jangan sekali-kali berkata kamu “hah” kepada kedua orang tua kamu. Walaupun sejahat mana orang tua kita, kita harus taat kepada mereka. Kita hanya di benarkan melawan kedua ibu bapa kita sekiranya ajarannya bertentangan dari hukum Allah SWT itupun dengan cara yang lembut dan bukannya dengan kekasaran. Tahukah anda di zaman Rasulullah SAW sendiri, ada seorang pemuda yang berbakti dan taat dengan sepenuh hati kepada kedua orang tuanya walaupun kedua-duanya sudah bertukar menjadi babi hitam. Bayangkan betapa kasihnya anak ini pada kedua ibu bapanya. Allah SWT telah menjanjikannya masuk ke Syurga kerana ketaatannya. Tidak kah kita mahukan balasan seperti ini?
Kenapa ek kita selalu sahaja merasa cemburu, busuk dan iri hati dengan kejayaan dan kebahagiaan seseorang? Rasa macam zaman kanak-kanak la pulak. Hanya kanak-kanak yang tak tahu bezakan antara yang baik dengan yang buruk. Ingatkan dah besar ni, boleh la fikir secara matang dan waras. Ingatkan kalau sudah dewasa ini, iman penuh di dada. Tetapi masih lagi wujud manusia jenis ini di antara kita kan? Punya kuat iri hati nya sampai sanggup untuk menjatuhkan dan menghancurkan kebahagiaan orang tersebut. Sepatutnya kita merasa tumpang gembira dan bersyukur di atas kejayaannya. Sepatutnya kita ambil iktibar supaya lebih taat kepada pencipta kita kerana Allah itu Maha Pemurah dan Allah SWT itu Maha Adil tiada sesuatu yang lain yang lebih adil dari-Nya. Setiap kejadian sudah tersurat dan setiap kejadian yang terjadi juga ada hikmah di sebaliknya. Mungkin, jika di dunia ini Allah SWT tidak mengurniakan kejayaan dan kebahagian, InsyaAllah di akhirat kelak kita akan mendapat kebahagiaan yang abadi. Wallahua’alam. Ini lebih bermakna dari kebahagiaan di dunia. Tidakkah kita mahu kebahagiaan yang kekal abadi? Pelikkan manusia zaman sekarang. Semasa di zaman Rasulullah SAW, para sahabat berlumba-lumba untuk mendapatkan kunci memasuki Jannah.
Kenapa ek takde plak diantara kita yang iri hati apabila seseorang itu berubah menjadi taat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW? Ni tak. Takdela pula dalam hati berazam untuk menjadi seperti orang tersebut. Menyampah tengok tersebut adalah kan? Setiap kali bila ada orang lain yang ingin berubah, ada sahaja cakap-cakap belakang. Ala dia alim-alim kucing jek. Kejap lagi jadi setan balik la tu. Austagfirrullahilazim. Sepatutnya kita beri dorongan dan semangat kepada orang tersebut supaya lebih taat dan kukuh imannya. Dan kita juga sepatutnya mengambil iktibar dan berazam untuk meniru orang seperti itu.
Kenapa ek takdela plak diantara kita yang berani nak menegur kesalahan orang lain yang sememangnya bertentangan dengan hukum Allah SWT? Kita buat tak nampak lagi ada la kan? Austagfirrullahilazim. “Ala biarla, dia yang dapat dosa. Kang kalau aku tegur dia, dia cakap aku nak tunjuk baik plak.” Ayat ini selalu kedengaran kan? Rasulullah SAW pernah bersabda, tegur menegur la di antara sesama kita, jika tidak boleh dengan kata-kata, tunjukla dengan perbuatan. Walaupun ia pahit tetapi untuk kebaikan mereka. Sanggupkah kita melihat ada di antara keluarga kita, kawan-kawan kita yang akan di seksa di akhirat kelak? Sanggupkah kita? Sesungguhnya ia amalan yang mulia di sisi Allah SWT.
Kenapa ek takde plak diantara kita yang sanggup menerima nasihat dan teguran yang dari orang lain dengan hati yang terbuka? Di cemuhnya lagi ada la kn? Sampai sanggup mengeluarkan perkataan, “Kubur masing-masing”. Austagfirrullahilazim. Benar bagai di kata, kubur masing-masing tetapi sepatutnya kita kena bersikap lebih terbuka. Jangan disempitkan lagi fikiran yang memang sudah sempit. Semua teguran tersebut adalah untuk kebaikan kita. Tidak kah kita idam-idamkan Syurga yang kekal abadi, yang di dalamnya adalah yang indah-indah belaka yang langsung tidak terdapat di dunia yang sementara ini? Teringat dengan program di Astro Oasis bertajuk "Rawat Hatinya" yang di sampaikan oleh seorang ustaz dari Indonesia. Yang mengatakan untuk memperbaiki diri dan hati, kita kena terima dengan baik dan berfikir positif setiap teguran orang yang datang kepada kita. Ini secara tidak langsung boleh merawat hati kita yang telah rosak.
Kenapa ek takde plak diantara kita yang ingin mengaku salah dan kalah di atas setiap perbuatannya? Bagi dia hanya dia seorang sahaja yang betul. Ego tinggi. Terutamannya bagi kaum lelaki. Tetapi jangan tak tahu, ada juga di kalangan kaum perempuan yang bersikap begini. Mengapa kita nak bertekak tentang isu dunia ini yang hanya untuk melalaikan kita dari mengingati Allah SWT. Mengapa kita nak lanjutkan perbualan yang sia-sia dengan bertekak diantara satu sama lain yang hanya menambahkan dosa kita. Bukankah lebih baik jika isu yang di bincangkan tentang hal keagamaan. Sekaligus boleh menambahkan pahala kita. Sesungguhnya bertekak di antara satu sama lain boleh membuatkan hubungan kita dengan orang itu renggang. Adalah lebih baik di diamkan sahaja. Itu lebih bermakna, kerana hubungan sesama kita pun masih utuh. Tetapi jika isu itu melibatkan hal agama adalah wajib bagi kita untuk membetulkannya jika ia betul-betul bertentangan, jika kita arif tentangnya, jika tidak adalah lebih baik di diamkan, takut ia akan menjadi satu perbuatan bida’ah. Adalah lebih baik bagi kita berdiam diri dari mengatakan sesuatu yang sia-sia yang hanya akan menambahkan dosa kita.
Kenapa ek ada diantara orang kita yang masih kedekut dan liat untuk mengeluarkan hartanya ke jalan Allah SWT? Berperasaan takut duit makin susut jika bayar zakat dan bagi sedekah pada fakir miskin. SubhanAllah. Jangan kata tidak ada orang begini. Masih wujud lagi di zaman ini. Sesungguhnya harta ini adalah kurniaan Allah SWT yang di beri kepada kita sebagai perantaraan untuk sama-sama berkongsi di antara satu sama lain. Ia bukan hak kita seorang sahaja. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Adil dan Maha Pemurah. Memang betul jika ada yang kata, aku siang malam kerah tulang empat kerat, takkan senang-senang je orang itu nak dapat. Tapi tahukah kita, itu semua adalah bantuan dari Allah SWT. Tanpa bantuannya kita tak dapat nak menggunakan tulang empat kerat kita. Sebagai contoh, apakah anda larat untuk bekerja sekiranya Allah SWT mengurniakan kesakitan dan kecacatan kepada kita? Apakah anda akan berjaya sekiranya Allah SWT menyempitkan rezeki kita? Jangan sekali-kali cuba untuk berfikir bahawa semua kejayaan yang kita perolehi adalah dari usaha kita sendiri tanpa bantuan dari orang lain. Ini sudah kufur namanya kerana kita menganggap Allah SWT tidak membantu kita. Sesugguhnya semua kejayaan yang kita perolehi adalah hasil bantuan dari Allah SWT. Allah SWT itu Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Tahukah anda semakin banyak kita bersedekah semakin banyak Allah SWT akan mengurniakan rezeki kepada kita. Subhanallah.
Kenapa ek masih lagi ada diantara kita yang masih suka melengah-lengahkan solat? Tidakkah kita tahu besar kelebihan dan manfaatnya solat di awal waktu. Kita hanya memikirkan hal keduniaan sampai lupa untuk menyegerakan dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Ada separuh ulamak mengatakan; melengah-lengahkan solat juga adalah di antara orang yang lalai di dalam hal solatnya. Austagfirrullahilazim. Boleh pula kita terus melaksanakan tugas yang di beri oleh seseorang dengan cepat tetapi perintah Allah SWT kita lengah-lengahkan. “Ah takpela, waktu zohor masih panjang, siapkan dulu kerja ni baru pegi solat. Kerja banyak ni, kang tak siap pulak.” atau "Ah takpela, cite ni habis sebelum waktu Isyak, sempat lagi kalau nak solat maghrib lepas cite ni habis. Lepas cite ni habisla baru solat maghrib." Ayat ini selalu kedengaran kan? Tidak kurangnya bagi suri rumah, lebih mengutamakan kerja-kerja rumah dan hal anak-anak dari perintah Allah SWT. Tidak menjadi hal sekiranya tidak menjadi keupayaan baginya untuk melaksanakan solat di awal waktu. Tetapi selagi menjadi keupayaan, tinggalkanla sementara kerja di tangan dan segeralah bersolat. Mari kita renungkan-renungkan hadis Rasulullah SAW di bawah. Jadikan lah hadis ini sebagai pedoman untuk kita memperbaiki diri. Amin..
“Dari Abu Qatadah ibn Ruba’I r.a meriwayatkan: bahawa Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman; Sesungguhnya Aku telah memfardhukan ke atas umatku sembahyang lima waktu dan Aku telah berjanji kepada diriKu, barangsiapa menjaga sembahnyangnya pada tepat waktunya, Aku akan memasukkannya ke dalam syurga dan barangsiapa yang tidak menjaga sembahnyangnya, maka tidak ada perjanjian baginya disisiKu.” (H.R. Abu Daud)
“Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa menjaga sembahnyang fardhunya (dengan istiqamah) tidak akan digolongkan dikalangan orang-orang yang lalai (dari beribadat kepada Allah).” (H.R Ibn Khuzaimah)
“Dari Abdullah ibn Umar r.a meriwayatkan; Suatu hari Nabi SAW bersabda tentang sembahyang fardhunya tepat pada waktunya; pada hari kiamat nanti akan menjadi Nur kepada orang yang mengerjakannya, menjadi penghujah bagi pihaknya dan menjadi penyelamatnya. Sebaliknya tidak ada Nur, pembela dan penyelamat bagi orang yang tidak menjaga sembahyangnya dan pada hari Kiamat mereka akan digolongkan bersama Firaun, Haman, dan Ubai bin Khalaf.” (H.R Ahmad dan Tabrani)
"Dari Fadhalah ibn Ubaid r.a berkata; Satu hari Baginda Rasulullah SAW duduk bersama kami. Tiba-tiba datang seorang lelaki lalu dia bersembahyang. Selepas sembahyangnya dia berdoa; (Allahhumma'g firli Warhamni - ertinya; Wahai Allah! Ampunilah aku dan kasihanilah aku). Lantas Baginda Rasulullah SAW bersabda: Kamu tergesa-gesa di dalam doamu. Apabila kamu duduk selepas sembahyang, hendaklah kamu memuji Kebesaran dan Keagungan Allah SWT dan berselawatlah ke atasku, kemudian berdoalah. Fadhalah r.a berkata; Kemudian seorang lelaki telah bersembahyang dan beliau telah memuji Allah dan memohon selawat ke atas Baginda Rasulullah SAW. Kemudia Baginda Rasulullah SAW telah bersabda: Sekarang mohonlah doa dan permohonan itu akan dikabulkan." (HR Tarmizi)
“Dari Abdullah ibn Qurtd r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Perkara pertama yang akan di hisab bagi seorang hamba pada hari Kiamat ialah solat. Sekiranya solatnya baik, maka amalan-amalan yang lain akan di terima dan jika solatnya rosak, maka semua amalan-amalan yang lain akan rosak.” (H.R Tabrani. Targhib)
Nota 1: Tiada kaitan di antara yang hidup dengan yang mati. Hanya sebagai nasihat dan pedoman.
Nota 2: Hadis-hadis di atas di petik dari buku Muntakhab Ahadith. Terbitan Klang Book Centre dan di cetak oleh NurPrima Sdn. Bhd. Penyusunya Hadzrat Maulana Muhammad Yusuff Al-Kandhalawi.
1 comment:
Thanks for sharing. Keep it up :)
Post a Comment